JOHOR BAHRU: Empat sekeluarga termasuk kanak-kanak berusia 12 tahun
melecur kira-kira 20 peratus badan selepas disambar api ketika
membersihkan tumpahan petrol di kedai motosikal milik keluarga di Jalan
Tebrau, dekat sini, malam tadi.
Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, Saiful Bahri Safar,
berkata kanak-kanak terbabit bersama ayahnya berusia 40 tahun, abang (14
tahun) dan kakak (15 tahun) sedang mengemas kedai motosikal selepas
waktu operasi perniagaan jam 7 petang.
"Sedang sibuk mengemas barang-barang untuk tutup kedai, dipercayai tempat simpanan petrol tertumpah.
"Apabila seorang daripada mangsa sedang membersihkan tumpahan petrol
itu, dipercayai secara tidak sengaja menyebabkan petrol terbabit
terbakar dan menyambar keempat-empat mangsa.
"Kejadian menyebabkan kanak-kanak itu melecur pada kedua belah kaki hingga ke paras peha.
"Ayahnya tidak mengalami kecederaan teruk tetapi dimasukkan ke wad
kecemasan Hospital Sultan Ismail kerana sesak nafas," katanya dipetik BH
Online.
Saiful Bahri berkata, kakak dan abang kanak-kanak itu cedera di kaki
dan tapak kaki serta ditempatkan di hospital sama untuk rawatan lanjut.
Katanya, operasi membabitkan lapan pegawai dan anggota itu ditamatkan
pada jam 8.15 malam, selain kebakaran tidak membabitkan struktur
bangunan kedai terbabit.
No comments:
Post a Comment