Pengurus Projek, Mazlan Mahadi berkata, walaupun berjaya mencatatkan sejumlah 6.02 juta pengguna sejak diperkenalkan pada 2015 hingga Ogos lalu dan menerima banyak komen positif penduduk Selangor, kerajaan negeri melalui Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) masih belum ‘berpuas hati’ dengan perkhidmatan yang diberi.
“Berdasarkan pemerhatian, kebanyakan negara membangun penduduk menggunakan kenderaan awam untuk ke lokasi masing-masing. Tapi di Malaysia, kebanyakannya masih gemar memilih kenderaan sendiri walaupun untuk jarak dekat.
“Di Selangor kami sasarkan 60 peratus penduduk menggunakan kenderaan awam menjelang 2030. Untuk capai tahap itu kita mesti membudayakan penggunaannya terlebih dahulu dan langkah pertama dimulakan dengan menyediakan bas percuma berteknologi tinggi,” katanya.
Katanya, sebagai inisiatif berkesan adalah menggunakan konsep turun padang bagi mengenal pasti secara terus, apakah yang masih diperlukan masyarakat bagi melengkapkan perkhidmatan itu.
“Hasil kajian dan tinjauan, kami dapati pengguna mengharapkan perkhidmatan dilengkapi juga dengan maklumat perkhidmatan supaya mereka boleh anggarkan masa menunggu.
“Keduanya adalah perhentian bas yang akan kami tambah baik menjadi ‘smart bus stop’ yang dilengkapi sistem maklumat penumpang, WiFi, CCTV atau butang kecemasan seperti yang diminta oleh golongan wanita khususnya dan sebagainya,” katanya.
Aplikasi diperkenal Oktober ini
Selain ‘smart bus stop’, perkhidmatan tersebut bakal dilengkapi dengan kemudahan aplikasi atas talian yang akan diperkenalkan Oktober ini.“Sebagai permulaan hanya beberapa lokasi dipilih sebagai perintis kepada perancangan ‘smart bus stop’ tersebut menjelang tahun depan
“Selain itu, aplikasi Bas Smart Selangor akan diperkenalkan bulan depan atau paling lewat awal November bagi memudahkan mereka atur perjalanan.
"Pengguna boleh dapatkan maklumat lokasi hentian terdekat dan laluan bas sekaligus menjimatkan masa,” katanya.
Bersama dengan pelancaran aplikasi tersebut ujar Mazlan, satu sistem pengawasan bas menerusi pusat kawalan akan turut diperkenalkan.
“Hasil perkongsian maklumat dengan PBT, kami juga sedang majukan sistem pengesan bas yang membolehkan pengguna membuat aduan secara terus sama ada cara pemanduan, kejadian tidak diingini atau kes tertinggal barang.
“Sistem ini membolehkan kami mengawal mutu perkhidmatan melalui aduan dan pemerhatian,” katanya.
Ditanya apakah pihaknya berdepan dengan masalah vandalisme, beliau memaklumkan kesedaran pengguna dalam menjaga kemudahan yang disediakan, semakin meningkat.
“Setakat ini tiada lagi masalah vandalisme cuma mungkin ‘adab’ boleh diubah sedikit seperti tidak meletakkan kaki di dinding atau kerusi lain yang boleh mengotorkan.
“Selain itu kami juga sedang menambah baik kemudahan WiFi berdasarkan aduan yang sering kami terima. Namun pengguna juga perlu faham kerana ia juga bergantung kepada laluan,” katanya.
Kecekapan servis sesuai dengan namanya
Bagi merasai sendiri keistimewaan perkhidmatan yang semakin mendapat sambutan di kalangan warga Selangor ini, Wartawan Sinar Harian merasai sendiri pengalaman dengan menaiki Bas Smart Selangor di sekitar Shah Alam.Tatkala kaki menjejak masuk ke pintu bas pun sudah memberi gambaran yang baik terhadap perkhidmatan yang disediakan.
Bas Smart Selangor mempunyai ciri yang lengkap dengan kemudahan tempat duduk keutamaan, berkapasiti 60 penumpang, kemudahan Wifi percuma dan mesra orang kelainan upaya (OKU).
Selain itu, keadaan persekitaran bas yang bersih dengan susun atur sempurna membuktikan kerajaan negeri komited meningkatkan keselesaan dan kepentingan rakyat selaras dengan pembangunan dan peningkatan penduduk Selangor.
Melalui pemerhatian, rata-rata penumpang adalah pelajar-pelajar sekolah, universiti dan penjawat awam, swasta dan suri rumah sekaligus kos perbelanjaan harian isi rumah dapat dikurangkan.
Malahan, wakil rakyat setempat seperti Adun Kota Anggerik, DR Yaakob Sapari juga turut tidak melepaskan peluang membuat tinjauan dengan menggunakan perkhidmatan itu.
No comments:
Post a Comment