Saturday, September 23, 2017

Banjir Kedah: 1,060 ditempatkan di 13 pusat pemindahan

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
ALOR SETAR: Seramai 1,060 mangsa banjir di beberapa kawasan di Kedah ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara ekoran banjir kilat dan air pasang besar yang berlaku sejak dua hari lepas.
 
Menurut kenyataan Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), pusat-pusat pemindahan dibuka di daerah Kuala Muda, Kota Setar, Kubang Pasu, Pokok Sena dan Pendang.
 
Katanya, seramai 55 orang dipindahkan ke Pusat Pemindahan (PP) Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah, di PP Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Seberang Perak (enam), di PP Surau Assyakirin Kepala Batas (53), dan PP SK Alor Mengkudu (26) manakala PP Dewan Kampung Balai, di Kuala Kedah (20).
 
Pusat pemindahan lain yang turut dibuka ialah PP SK Bukit Hijau, Pokok Sena membabitkan 12 orang mangsa, PP Surau Kampung Kubang Betong, Kubang Pasu (108), PP SK Kodiang Lama (46) manakala PP SMK Changloon seramai 148 orang.
 
​​​​​​​Turut dibuka ialah PP Dewan Cenderawasih di Pendang yang melibatkan seramai 41 orang.
 
Selain itu, tiga pusat pemindahan banjir masih beroperasi di daerah Kuala Muda iaitu PP SK Bukit Kechil dengan 390 mangsa, PP Dewan Kampung Jilid Lapan (44) dan PP Dewan Kampung Sungai Pial (111).
 
Semalam, hujan berterusan serta air pasang besar menyebabkan 149 keluarga dengan 669 mangsa dipindahkan di lima pusat pemindahan banjir seluruh negeri ini.
 
Malam tadi Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah turut melawat mangsa banjir di Kuala Muda.
 
 

No comments: