PUTRAJAYA: Seramai 177 atlet Sukan SEA Ke-29 (KL2017) dan Sukan
Universiti Dunia, Taipei 2017 (Universiade) dari Institusi Pendidikan
Tinggi (IPT) yang meraih pingat dalam kejohanan itu diraikan dengan
penganjuran Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan 2017.
Menteri
Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata KPT bukan hanya
melihat pelajar yang cemerlang dari segi akademik pencapaian Purata
Nilai Gred Keseluruhan Berintegrasi (iCGPA), malah pada masa sama turut
menerima pelajar yang berjaya dalam bidang sukan.
Menurut beliau, tanggapan mengatakan KPT memberi penekanan kepada
akademik semata-mata adalah tidak benar dan apa yang diadakan ini adalah
suatu lonjakan pertama Pelan Pendidikan bagi melahirkan golongan
pelajar holistik.
"Penganjuran program ini adalah sebagai motivasi serta penghargaan
terhadap atlet yang berjaya mengharumkan nama negara," katanya ketika
berucap pada Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan 2017 di sini,
semalam.
Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Mary Yap Kain Ching dan Timbalan
Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) merangkap Ketua Kontinjen
Universiade 2017, Datuk Dr Mohammad Abdullah Said.
Secara keseluruhan, sebanyak 53 pingat emas disumbangkan atlet IPT
daripada jumlah keseluruhan 145 pingat emas yang diraih kontinjen negara
pada Sukan SEA KL2017 lalu.
Pada kejohanan Universiade Taipei 2017 pula, kontinjen IPT membawa pulang tiga pingat perak dan empat gangsa.
Idris berkata, KPT mengucapkan terima kasih dan berbangga kerana ada
dalam kalangan atlet IPT yang turut berjaya memecahkan rekod baharu
dalam KL2017.
Menurutnya, KPT memperuntukkan RM292,500 sebagai penghargaan terhadap
atlet yang mengharumkan nama negara di kedua-dua temasya sukan terbabit.
"Kita berharap lebih ramai atlet dilahirkan KPT bagi pertandingan sukan
dunia termasuk ke peringkat Sukan Olimpik pada masa hadapan," katanya.
Idris menyampaikan insentif berjumlah RM2,000 kepada atlet IPT yang
menyumbang pingat emas, pingat perak (RM1,000) dan RM500 bagi pingat
gangsa.
No comments:
Post a Comment