Friday, September 8, 2017

Amanah: Surat Anwar beri pandangan sama-rata terhadap perbezaan dalam PKR

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Amanah hairan mengapa surat terbaru daripada Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim disensasikan sehingga dilihat cuba menghuru-harakan PH, kata Setiausaha Agungnya, Anuar Tahir.
 
"Amanah tidak anggap ia perkara besar. Anwar sudah buat banyak kenyataan, namun mengapa pada kali ini semua orang seperti berminat sangat?," soalnya sewaktu dihubungi Antarapos.
 
Anwar baru-baru ini mengesahkan beliau mempersetujui usaha Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untu berunding dengan PAS bagi membentuk kerjasama politik dalam usaha menumbangkan Umno-Barisan Nasional (BN) dalam PRU14.
 
Respon Anwar itu dilihat berbeza dengan pendirian Mesyuarat Majlis Presiden PH pada 29 Ogos lepas yang memuktamadkan gabungan itu menutup pintu rudingan dengan PAS dan bersedia untuk pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya akan datang.
 
Malah respon Anwar, menerusi surat itu juga disifatkan Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai 'bermasalah', seolah-olah memberi lampu hijau kepada PKR untuk terus berunding dengan PAS.
 
Ditanya penerimaan Amanah terhadap surat itu, Anuar berkata partinya menganggap respon Anwar itu 'sama-rata' terhadap kumpulan-kumpulan di dalam PKR yang mempunyai berbeza pandangan.
 
"Kami menerima, menghormati pandangan sesiapa pun. Sudah tentulah apa yang ditulis oleh Anwar itu 'sama-rata'. Tidaklah yang boleh kita anggap sebagai 100 peratus menyokong tindakan dibuat Azmin. Barangkali pandangannya itu menghormati pandangan dipihak lain, seperti Rafizi Ramli (Naib Presiden PKR). 
 
"Jika hendak melaga-lagakan sesama mereka dalam PH, sesama PKR, ia boleh dilakukan, namun kita tak tahu apa keuntungannya? Pada saya orang bebas mengeluarkan pandangan," kata Anuar.
 
Malah beliau juga senada dengan salah satu kandungan surat Anwar itu supaya jika ada pun rundingan PKR dan PAS membuahkan hasil, ia haruslah berlaku dalam kerangka komitmen PKR dengan PH.
 
 

No comments: