Wednesday, September 6, 2017

Ainum akui BNM rugi RM9.4 bil dari urus niaga forex

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Urus niaga Bank Negara Malaysia (BNM) dengan mata wang asing (forex) sekitar tahun 1990-an menyebabkan bank pusat itu mengalami kerugian berjumlah RM9.4 bilion.
 
Perkara itu didedahkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Ainum Mohamad Saaid ketika memberi keterangan di prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang memasuki hari kelima pada hari ini.
 
"Ya," ujarnya ringkas apabila ditanya oleh panel RCI, Datuk Wira Kamaludin Md Said berkenaan jumlah kerugian yang ditanggung BNM pada tahun berkenaan.
 
Ainum, saksi ke-15 juga menyatakan bahawa meskipun Pejabat Peguam Negara 'tidak memberikan jawapan atau hala tuju khusus' berkenaan kesahihan urus niaga BNM-Forex, perkara itu bagaimanapun bertentangan dengan Ordinan Bank Pusat.
 
"Apa yang saya ingat adalah kami diberikan beberapa peruntukan undang-undang, di bawah Ordinan Bank Pusat yang mana menyatakan bahawa BNM tidak boleh melakukan urus niaga, ia juga tidak ada bidang kuasa untuk melakukan urus niaga forex," katanya lagi.
 
Sementara itu Ainum tidak dapat mengesahkan dakwaan bekas pegawai audit di Pejabat Audit Negara, P. Kanason yang sebelum ini mengatakan pihaknya tidak dibenarkan mempersoal kesahihan urus niaga BNM-forex itu.
 
"Saya tidak ingat ada kata 'orang atasan cakap jangan masuk campur'," demikian responnya.
 
Kanason, dalam prosiding 20 Ogos lalu mendakwa BNM tidak mengendahkan amaran bahawa urus niaga antara BNM dan mata wang asing itu melanggari undang-undang, selain mendapati hasil urus niaga harian dicatatkan sehingga RM50 juta.
 
Bukan itu sahaja Kanason yang mengetuai pasukan audit kewangan BNM dari 1985 hingga 1992 memberitahu tidak ada maklumat direkodkan di dalam perpustakaan BNM berkenaan mengapa ia memutuskan untuk menjalankan urus niaga mata wang asing itu.
 
Selain Kanason, pembantu khas bank kepada bekas Gabenor Negara, Tan Sri Jaafar Hussein juga memaklumkan 'kerugian besar' daripada urus niaga berkenaan.
 
Liew Siew Kuan, saksi ke-11 juga mendakwa Jaafar turut terkejut dengan jumlah kerugian yang dicatatkan sebanyak RM9 bilion dan memintanya untuk memeriksa akaun BNM.
 
Liew kemudiannya bertindak memaklumkan hal kerugian itu kepada kerajaan, bagaimanapun beliau memaklumkan 'kerajaan tidak percaya kerugian sebanyak itu'.
 
 

No comments: