Oleh Nur Atiqah Abdul Samad
SHAH ALAM: Exco Selangor Dr. Daroyah Alwi dari PKR menafikan laporan
bahawa lapan ADUN parti berura-ura keluar daripada parti untuk
menumbangkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
ADUN Sementa itu menegaskan, perkara seperti itu tidak akan berlaku dan
sebarang cubaan untuk mengambil alih kuasa di Selangor seperti mana
yang pernah berlaku di Perak hanya sia-sia.
"Yang disebut lapan ADUN PKR Selangor akan sertai sidang media
(semalam). Itu memang tak akan pernah berlaku dan terlintas difikiran
kami.
"(Apa yang berlaku di Perak) tidak akan berjaya untuk (dilakukan) di Selangor. Tidak akan (berjaya)," katanya.
Sebuah portal berita hari ini memetik sumber sebagai mendakwa lapan
ADUN PKR semalam sepatutnya keluar parti untuk menjatuhkan kerajaan
negeri pimpinan PKR.
Sebaliknya hanya Tan Sri Muhammad Muhammad Taib yang keluar PKR untuk menyertai Umno.
Daroyah yang memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan,
Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga dalam kerajaan negeri berkata,
beliau bersama-sama dengan semua ADUN Pakatan Harapan (PH) berdiri
teguh dibelakang Azmin.
"Sudah tentu, kita kekal dengan prinsip (untuk) bersama dalam
perjuangan PKR. Walau apa pun yang akan menganggu-gugat, kita tetap
teguh dengan prinsip perjuangan PKR bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim,
dipimpin oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah.
"Dan di Selangor bersama Datuk Seri Azmin Ali. Itu kami tak berbelah bagi dalam hal tersebut," tegas beliau.
Semalam Muhammad yang pernah menjadi Menteri Besar Selangor mengumumkan
keluar PKR kerana kecewa parti itu tidak mementingkan agenda perjuangan
Melayu mahupun Islam.
Muhammad menyertai PKR pada tahun 2015 setelah dua tahun menyertai PAS.
Beliau sebelum itu sekian lama bersama Umno di mana beliau memegang
pelbagai jawatan termasuk Naib Presiden dan Ketua Penerangan parti.
No comments:
Post a Comment