Wednesday, September 20, 2017

3.7 juta belia belum daftar mengundi

ANTARAPOS

Post Pic


KUALA LUMPUR: Sehingga suku kedua tahun ini, sebanyak 14.6 juta rakyat Malaysia telah mendaftar sebagai pengundi manakala 3.7 juta lagi yang kebanyakannya golongan belia berusia 21 hingga 39 tahun masih belum berbuat demikian.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah berkata, atas sebab itu, bermula tahun ini, SPR mengambil inisiatif mengadakan Program Pendidikan Pengundi bagi mendekati golongan berkenaan yang majoritinya terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan berjaya mendaftarkan seramai 2,445 pengundi baru.

“Seperti semua sedia maklum, pilihan raya akan diadakan pada bila-bila masa kerana tempoh matang Parlimen terbubar dengan sendirinya pada 24 Jun 2018. Justeru, program ini menjadi serampang dua mata kepada SPR untuk mendekati golongan sasar dengan mendidik mereka mengenai kepentingan mendaftar sebagai pengundi.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa tarikh untuk mendaftar sebagai pengundi masih belum ditutup.
Sehubungan itu, semua yang layak boleh mendaftar diri masing-masing sebagai pengundi dan apabila tiba hari pilihan raya, jadilah warganegara yang bertanggungjawab dengan turun mengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Program Pendidikan Pengundi anjuran SPR di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Islam, Bangi dekat sini, semalam.

Program yang dirangka bersama Kementerian Pendidikan itu juga merupakan pendedahan awal kepada para guru yang bakal dilantik sebagai petugas-petugas pilihan raya mengenai simulasi sebenar hari pengundian.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Hashim menjelaskan, persiapan pihaknya dalam tempoh kurang setahun ini berjalan lancar dan seluruh kakitangan agensi tersebut telah menjelajah ke seluruh negara bagi bertemu dengan semua Pengerusi SPR negeri untuk memastikan logistik serta kemudahan tempat mengundi berada dalam keadaan sempurna.

No comments: