Oleh Nur Atiqah Abd Samad
SHAH ALAM: Walaupun PAS Kelantan menganggap penyertaan Datuk Husam Musa
dalam parti Amanah bukanlah satu ancaman, tetapi parti itu perlu
memberi perhatian kepada pengaruh ADUN Salor itu terutamannya di negeri
berkenaan.
Penganalisis
politik Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed mengingatkan PAS untuk
meletakkan sedikit kebimbangan sekiranya Husam berjaya meyakinkan
penyokong parti itu untuk berpaling tadah sekaligus menyertai Amanah.
"Saya kira secara kecil memang kita dapati penglibatan beliau itu akan
memberi ancaman. Terutama beliau merupakan tokoh besar di Kelantan,
beliau bukan baru terlibat dalam politik, beliau sebagai exco (Kelantan)
sebelum ini, seorang wakil rakyat yang agak lama berkecimpung dalam
arena politik di Kelantan.
"Jadi sudah tentu sebagai seorang tokoh yang agak besar dan berpengaruh
memang memberikan sedikit ancaman kepada PAS terutama di kawasan beliau
sendiri," katanya kepada Antarapos.
Terdahulu, Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Ahmad Yakob berkata parti
itu langsung tidak terjejas dengan tindakan Husam yang menyertai parti
Amanah.
Ujarnya, kehadiran Husam dalam Amanah bukanlah kayu pengukur kepada
kekuatan parti itu dan Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) yang akan
menghakimi sejauh mana Amanah mampu berdiri.
Kata Martadha lagi, walaupun Husam mempunyai pengaruh yang kuat di
Kelantan, namun ia terlalu awal untuk membuat kesimpulan bahawa Amanah
mampu untuk menyaingi PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
"Untuk kita meramalkan bahawa Amanah akan memberi satu tentangan yang
besar dan mampu untuk mencapai kemenangan (PRU14), saya kira itu masih
awal untuk kita ramalkan.
"Kalau kita lihat prestasi PRK Kuala Kangsar dan Sg Besar memang kita
dapati Amanah tidak begitu memberikan ancaman yang besar terutamanya
kepada BN dan PAS. Kalau kita lihat dari segi undian calon PAS memang
lebih banyak berbanding calon Amanah," ujar beliau.
Semalam bekas naib presiden PAS itu mengumumkan penyertaannya dalam Amanah selepas dipecat daripada PAS April lalu.
Pemecatan itu dibuat susulan lantang mengkritik Presiden PAS Datuk Seri
Abdul Hadi Awang berhubung dakwaan wujud kerjasama PAS-Umno.
No comments:
Post a Comment