GOMBAK: Seramai 12 penumpang dan seorang pemandu sebuah bas persiaran
cedera selepas kenderaan yang mereka naiki terbabas dan terbalik di
Kilometer 31.3, Lebuhraya Karak, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian itu kira-kira jam 3.50 petang, bas berkenaan yang dalam
perjalanan dari Genting Highlands ke ibu negara dilaporkan gagal dikawal
sebelum terbabas dan melanggar tembok pembahagi jalan.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd Sani Harul, berkata bas
itu kemudian dilaporkan terbalik hingga menghalang dua lorong di laluan
berkenaan.
"Seramai tujuh anggota dan pegawai dari Balai Bomba Selayang,
dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat kemalangan itu
namun sebaik tiba semua mangsa sudah dihantar ke Hospital Selayang untuk
rawatan.
"Hasil pemeriksaan, 12 penumpang yang juga pelancong warga Singapura
dan dua pemandu bas dan pembantunya kini dilaporkan dalam keadaan
stabil," katanya lapor kepada pemberita pada Rabu.
Akibat kemalangan itu, laluan dari arah Bentong menuju ke Plaza Tol
Gombak, mengalami kesesakan teruk sepanjang hampir dua kilometer.
No comments:
Post a Comment