Mohd Hafizan Mazuki
ULASAN Setiap hari sebanyak tiga
juta kenderaan keluar masuk ke Kuala Lumpur. Manakala parkir Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berjumlah 45,000 petak sahaja.
Ia tidak mampu menampung jumlah kenderaan yang keluar masuk. DBKL
cuba mengambil langkah tidak popular dengan menaikkan caj parkir
sebanyak 150 peratus.
Ia mengundang kecaman bukan sahaja penduduk di ibu kota, bahkan
seluruh Malaysia. Langkah ini bagaimanapun bukan langkah terkebelakang.
Kebanyakan negara utama di dunia mengambil langkah sama bagi
mengurangkan kesesakan lalu lintas. Kenaikan kadar bayaran parkir akan
menjadi relevan sekiranya pengangkutan awam benar-benar efisien.
Sebenarnya beberapa siri kenaikan harga minyak (sebelum diapungkan)
dan harga pengangkutan awam bertujuan menaik taraf sistem pengangkutan
awam yang ada sekarang.
Namun ia masih tidak menampakkan hasil yang positif.
Baru-baru ini pengangkutan awam di ibu negara menjadi bahan jenaka
yang menyebabkan pengguna terpaksa berjalan di atas landasan transit
aliran ringan (LRT).
Kebetulan pada waktu berkenaan tayangan filem Korea -Train to Busan.
Poster filem ini yang memaparkan landasan kereta api diolah dengan
situasi yang berlaku di Malaysia.
Bandar transit
Kuala Lumpur sedang menuju ke arah bandar yang berkonsepkan 'transit
oriented development'. Namun dalam konteks di Malaysia ia akan mengambil
masa untuk perkara ini berhasil.
Projek kereta api MRT yang ada sekarang juga dalam proses untuk
mengakses ke seluruh pelosok Lembah Klang yang tidak terjangkau dengan
aliran transit sebelum ini.
Mengambil contoh seorang pekerja yang tinggal di sekitar Kerinchi,
Kuala Lumpur, mereka hanya perlu berjalan kaki dan akses ke Stesen
Universiti atau Stesen Kerinchi untuk ke tempat kerja.
Sekiranya kita bicara seorang pekerja yang perlu bergerak ke beberapa
tempat mesyuarat di Kuala Lumpur pada hari yang sama, memang
pengangkutan awam agak sukar.
Sedikit masa lalu, ada sebuah kempen yang menggalakkan perkongsian
kenderaan ke tempat kerja. Namun kempen ini tidak meluas dan bertahan
hanya beberapa ketika.
Pengguna masih mengira kos relatif yang lain termasuk waktu menunggu
dan betapa penatnya mereka hendak berjalan ke stesen aliran ringan.
Sekiranya kos itu berbaloi dengan kos hidup seharian, harga minyak
dan peningkatan harga barang runcit, pengguna akan memilih pengangkutan
awam.
Langkah pertama sebelum menaikkan harga parkir di Kuala Lumpur, DBKL
dan agensi kerajaan yang lain harus berbincang bagi menurunkan harga
pengangkutan awam.
Untuk rekod tambang LRT dan Monorel meningkat hampir 100 peratus pada 2 Disember 2015.
MOHD HAFIZAN MAZUKI adalah graduan Perancangan Bandar dan Wilayah
dan mempunyai sarjana dalam bidang Perumahan. Kini beliau bertugas
sebagai pegawai projek kanan dengan Gender Responsive dan Participatory
Budgeting, PWDC.
No comments:
Post a Comment