Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
SHAH ALAM: Amanah tidak menolak syor Parti Pribumi Bersatu Malaysia
(PPBM) supaya kesemua parti pembangkang membentuk satu barisan yang
bernaung di bawah satu logo demi berdepan Barisan Nasional (BN) dalam
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad bagaimanapun berkata sebarang
ketetapan muktamad perlu dibincangkan bersama agar perbezaan politik
dapat dielakkan.
"Pada dasarnya kita bersetuju dan inilah yang kita gelarkan sebagai
gabungan dan kerjasama secara mega. Amanah tidak ada masalah dengan hal
itu dan mengalu-alukan cadangan itu," katanya kepada Antarapos, hari
ini.
Semalam Naib Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata syor
gabungan yang dipanggil Barisan Rakyat itu akan disuarakan kepada
ketua-ketua parti dalam waktu terdekat.
Gabungan berkenaan penting supaya kesemua parti pembangkang dapat
melawan BN dengan satu logo yang sama, sekaligus tidak mengelirukan
pengundi.
Gabungan itu juga dikatakan tidak akan menyisihkan PAS, yang kini
bergerak sendirian selepas tidak menganggotai Pakatan Harapan (PH)
ekoran terkuburnya Pakatan Rakyat (PR) Jun tahun lalu.
Diajukan hal itu, Khalid bagaimanapun memberi amaran awal kepada bekas
partinya supaya teguh dengan komitmen bersama, sekiranya bersetuju untuk
bersama dalam gabungan baru itu nanti.
"Sekiranya mencapai kemenangan, jangan berubah dan bawa kerusi
membentuk gabungan dengan pihak lain. Maknanya, kena ada komitmen
terhadap gabungan tersebut untuk membentuk kerajaan baru bersama atas
dasar-dasar yang dipersetujui bersama.
"Bukan sekadar bertanding dengan sokongan parti-parti rakan, kemudian
apabila dah menang (rasa) berhak ikut kehendak masing-masing. Tak
boleh," tegas Ahli Parlimen Shah Alam itu.
Mukhriz pada satu sesi dialog bersama penyokong Bersatu, semalam turut
mendedahkan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan perjumpaan
dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dengan menyifatkan
hasil perbincangan itu sebagai positif.
No comments:
Post a Comment