Wednesday, September 21, 2016

Saya tahu perkembangan Syiah di Malaysia - Prof Amin

 
 
Prof. Dr. Amin Mohammad Sallam Al Manasyeh
Prof. Dr. Amin Mohammad Sallam Al Manasyeh

 MUKADIMAH


BEKAS Mufti Jordan, Prof. Dr. Amin Mohammad Sallam Al Manasyeh mungkin tidak sepopular Dr. Yusuf Al-Qardhawi namun sumbangan besarnya terhadap perkembangan Islam di peringkat antarabangsa terutama menentang penyebaran fahaman Syiah wajar diberi penghormatan. Memiliki tiga ijazah doktor falsafah dan pakar dalam tafsir al-Quran dan hadis, beliau juga pernah menjadi mufti yang dilantik penduduk Islam di New York dan Philadephia di Amerika Syarikat semasa menuntut di sana.

Beliau yang kini Penasihat Syariah kepada sebuah syarikat milik anak tempatan, Dubaiz Islamic Concept Sdn. Bhd. berkunjung ke Malaysia baru-baru ini dan wartawan Malaysia Gazette berkesempatan menemuramahnya.

Dalam pertemuan itu, Prof. Dr. Amin menyatakan pandangannya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bahaya penularan fahaman Syiah dan Daiesh. Apa sekali pun masalah yang dihadapi, beliau menasihati umat Islam supaya merujuk semula kepada panduan yang diberikan dalam al-Quran dan sunnah Nabi Muhamad SAW sebagai solusi.

MalaysiaGazette: Sudah empat kali datang ke Malaysia, apa pandangan Prof tentang negara ini?

Prof. Dr. Amin: Saya sangat suka Malaysia, saya cinta Malaysia, rakyatnya. Saya dapati penduduk di negara ini baik dan bermurah hati. Sebab itu, saya berasa sedih setiap kali meninggalkan Malaysia.

Malaysia memaparkan imej Islam yang sederhana, apa komen Prof tentang ini?

Saya berpeluang menemui Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) beberapa hari lalu, saya sempat supper di rumahnya. Kami berbincang bersama, solat bersama. Pada pandangan saya Malaysia sebuah negara yang berkembang, lebih moden daripada kebanyakan negara di Timur Tengah malah berbanding negara saya. Rakyat di sini kuat bekerja dan hidup dengan lebih baik. Saya mendoakan agar Allah sentiasa memelihara Malaysia dan rakyatnya.

Apa komen Prof tentang Datuk Seri Najib Razak?

Pertama kali bertemu dengan Perdana Menteri, saya percaya beliau seorang mukmin yang baik. Lantaran itu, saya percaya jika Allah memberikan masa, beliau akan terus mengembangkan negara, memeliharanya dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang baik di dunia pada masa depan. Itu yang saya fikir tentang beliau.

Malaysia sekarang berusaha untuk menangani Daesh. Apa pandangan Prof tentang Daish yang semakin membimbangkan dunia?

Kebanyakan Muslim tidak tahu makna Daesh. Kebanyakan mereka fikir ia adalah sebuah negara Islam tetapi hakikatnya bukan. Ia digerakkan oleh Amerika Syarikat, Iran, Eropah dan Israel. Mereka menarik golongan muda yang baik untuk berjihad, walapun ia bukan jihad.  Mereka berkembang. Mereka mahu menggalakkan orang Islam membunuh sesama mereka. Ini bukan negara Islam sebenar.



Jadi, apakah cara terbaik untuk menangani Daesh daripada merebak ke Malaysia atau negara-negara lain?

Saya fikir imam-imam, mufti-mufti, ahli politik perlu menggerakan isu ini supaya orang ramai sedar tentang bahayanya Daish. Ia berlaku di mana-mana, mungkin berlaku setiap negara kerana ada orang yang menyertainya tanpa berfikir, lantaran itu kita perlu menasihati penuntut-penuntut di universiti. Fahamkan mereka tentang Islam yang sebenar. Islam yang sebenar adalah mengikut al-Quran dan sunnah. Bukan mengambil daripada percakapan orang-orang yang tidak ada pengetahuan langsung tentang Islam, mesti dari dalil dan sunnah.

Bukan sahaja di kebanyakan di Timur Tengah, di Malaysia juga ada kelompok ahli Sunnah Waljamaah, Wahabi, Salafi, belum lagi pengikut Syiah dan sebagainya. Mengapa ada terlalu banyak cabang dalam Islam?

Kita sebenarnya perlu melindungi diri daripada pelbagai idea-idea ini. Islam adalah sebuah agama yang jelas. Kalau kita mendengar sebarang perkara, kita perlu rujuk kepada al-Quran dan sunnah. Dari situ barulah kita tahu sama ada yang diperkatakan itu ada dalam al-Quran dan Sunnah kerana dalam Islam wajib mematuhi ajaran kedua-dua, al-Quran dan Sunnah.

Malah, jika kita mendengar kata-kata imam-imam Abu Hanifah, Syafii, Ahmad, Malik, wajib umat Islam merujuk kepada al-Quran dan Sunnah kerana mereka juga manusia, mungkin berlaku kesilapan. Saya juga mungkin buat silap, oleh sebab itu amat penting kita merujuk kepada al-Quran dan Sunnah.

Imam Syafii pernah berkata, jika anda mendengar ada perbezaan kata-katanya dengan Nabi Muhammad SAW, anda perlu ikut Nabi Muhammad SAW, jangan ikut saya. Sebab itu, kita tidak boleh mendakwa kita adalah pengikut Salafi, Syafii dan lain-lain. Apabila orang bertanya siapa anda, katakan sahaja Islam. Islam adalah jawapan yang tepat kerana menunjukkan kebersamaan. Kalau kita kata kita adalah pengikut Maliki, Syafii, Syiah dan lain-lain bermakna kita tidak mengikut al-Quran dan Sunnah.

Tidak ada yang membuatkan umat Islam bersatu kecuali kembali kepada al-Quran dan Sunnah. Nabi Muhammad pernah berkata, jika umat-umatku mengikuti dua perkara yang aku tinggalkan, umatku semua akan selamat. Itulah al-Quran dan Sunnah. Itulah ilmu bagi umat Islam. Berdasarkan ilmu al-Quran dan Sunnah, kita hendaklah berfikir.

Mengapa umat Islam bertelagah sesama sendiri?

Anda tahu kenapa, mereka bertelagah kerana tidak faham apa makna Islam. Anda Islam,saya juga seorang Islam tetapi kita mungkin ada perbezaan dalam pendapat. Itu tidak mengapa kerana kita masih boleh berbincang. Rujuk kembali kepada al-Quran dan Sunnah, mana yang benar kita ikuti. Mengapa perlu bertelagah?



Bagaimana pula dengan perbezaan Islam dengan Syiah?

Saya adalah pemimpin pembanterasan Syiah di Jordan. Saya menolak Syiah. Saya menulis lebih lima muka surat dengan 20 bukti bahawa Syiah bukan Islam. Saya sedang menulis apa yang mereka lakukan pada Islam Sunni di Iraq, Syria, Iraq, Lebonan, Bahrain.

Pertama kali saya di Malaysia, saya pernah bertemu dengan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim (ketika itu Timbalan Perdana Menteri). Saya mengenali beliau ketika di Amerika Syarikat. Kami menuntut bersama. Saya pernah berkata kepadanya berhati-hati dengan Syiah, jangan sesekali benar ia datang ke Malaysia. Saya katakan pada beliau, mana-mana negara yang membenarkan Syiah, negara itu akan menghadapi masalah. Jadi kena berhati-hatilah dengan Syiah.

Prof di Malaysia juga dipercayai wujud kelompok kecil Syiah.

Mungkin anda tahu itu, tetapi saya sebagai orang luar saya mengetahui lebih daripada apa yang anda lihat. Saya tahu apa yang berlaku dalam perkembangan Syiah di Malaysia. Ada beberapa negeri di Malaysia, yang pelajarnya menuntut di Iran. Kira-kira ada 1,000 orang penuntut Iran yang menuntut di universiti-universiti di sini. Jadi kena berhati-hati. Anda perlu tahu apa yang penuntut-penuntut itu buat ketika berada di Iran. Apa yang dilakukan oleh penuntut-penuntut Iran yang menuntut di sini. Siapa rakan-rakannya, apa mereka buat, anda kena hati-hati.

Pada pandangan Prof, apa yang menyebabkan ada golongan yang tertarik kepada Syiah?

Ada tiga perkara, pertama mereka mendakwa mereka pengikut keluarga Nabi Muhammad SAW. Saiyidina Ali adalah sepupu Nabi Muhammad. Mereka tidak percaya kepada Saiyidina Abu Bakar, Saiyidina Umar dan Saiyidina Uthman. Kalau anda mahu menjadi pengikut Syiah, perlu menolak tiga khalifah yang lain kecuali Ali. Mereka sayangkan Ali. Tetapi Nabi Muhammad SAW kata kita wajib mempercayai keempat-empat khalifah ini.

Mereka (golongan Syiah) beri sumbangan wang kepada golongan muda. Jumlah wang yang banyak. Yang ketiga, mereka juga mengamalkan mutaah (kahwin kontrak). Mereka menggalakkan golongan muda melakukan mutaah. Golongan muda tidak tahu tentang Islam dan tidak tahu mutaah dilarang dalam Islam. Ini semua mendapat tarikan kepada golongan miskin. Daripada sini mereka membina komuniti.



Daripada mana mereka memiliki wang yang banyak?

Mereka mempunyai banyak sumber. Yang pertama, Iran adalah sebuah negara yang kaya. Kedua, imam Syiah mesti mempunyai 15 peratus daripada keuntungan anda. Jika saya memiliki satu juta, imam saya pula mempunyai RM250,000 daripada keuntungan saya. Dengan wang yang banyak mereka boleh menerbitkan buku, berkahwin, beri sumbangan wang, kereta dan rumah. Sesiapa yang mahu kereta, apartmen, berkahwin akan datang kepada mereka. Mereka juga boleh membiayai pengajian di universiti.
Itu cara mereka. Saya rasa anda pernah dengar dalam berita. Mereka juga mempunyai tentera. Mereka golongan kaya.

Sehubungan itu, Syiah perlu dibanteras di Malaysia, di mana-mana negara. Arab Saudi tidak membenarkan Iran mengerjakan ibadat haji pada tahun ini. Ini kerana mereka bukan mahu menunaikan ibadat, sebaliknya mewujudkan masalah. Saya pernah menjadi pendakwah di Masjid Nabawi selama enam tahun. Saya cukup dekat dengan mereka. Perbuatan mereka bertentangan dengan kita. Jika saya berwuduk dari jari ke lengan, mereka dari lengan ke jari. Semua yang mereka melakukannya bertentangan.

Semasa mengerjakan haji saya menggunakan payung untuk berlindung dari panas terik matahari tetapi mereka tidak boleh. Mereka kata tidak boleh melindungi kepala mereka. Walaupun perkara kecil yang Muslim Sunni lakukan, mereka akan menentang.

Semasa saya menyampaikan khutbah di Jordan selama lima tahun di Masjid Al-Mazar berhadapan dengan tanah perkuburan Saiyidin Jaafar Abi Talib (sepupu Nabi Muhammad SAW), mereka datang melawat kubur. Kami bersolat di masjid, mereka bersolat di kawasan perkuburan itu. Mereka tidak mahu bersama kita, sebaliknya beribadah di kubur. Ada pengikut Syiah dakwa yang Saidina Ali sama taraf dengan Allah. Ada al-Quran tetapi mereka mahu mengikutinya. - MalaysiaGazette

No comments: