GEORGE TOWN:Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang
mengesan bapa kepada ADUN DAP Pulau Pinang untuk memberi kerjasama dalam
siasatan terhadap urusan didakwa sebagai 'rasuah untuk rumah' bagi
mendapatkan rumah mampu milik.
Pengarah SPRM Pulau Pinang Datuk Abd Aziz Aban berkata pihaknya sedang
berusaha menjejaki Lim Kiat Seong, 68, bagi membantu siasatan berhubung
dakwaan tersebut.
"Kita cuba dapatkan beliau untuk memberi kerjasama hari ini. Tetapi
beliau gagal dihubungi, malah beliau juga tiada di rumah," katanya
dipetik Bernama di sini, Rabu.
Beliau berkata setakat ini, SPRM telah mengambil keterangan enam
individu yang dipercayai terlibat dalam urusan seperti didakwa itu, dan
siasatan masih berjalan.
"Siasatan berhubung dakwaan itu dimulakan semalam dan lima lelaki dalam
rakaman video termasuk seorang lagi individu yang dipercayai ada kaitan
dengan urusan seperti didakwa itu, telah dipanggil untuk memberi
keterangan," katanya.
Semalam, Abd Aziz mengesahkan SPRM telah memulakan penyiasatan terhadap
urusan 'rasuah untuk rumah' bagi mendapatkan rumah mampu milik itu,
yang didakwa melibatkan bapa seorang Adun Pulau Pinang.
Beliau berkata penyiasatan akan mengambil masa dan pihaknya sedang
mengesan mereka yang didakwa menjadi mangsa untuk membantu siasatan.
"Kami akan teruskan siasatan berhubung dakwaan itu dan berharap orang
ramai khususnya mangsa yang mempunyai sebarang maklumat mengenai perkara
itu supaya tampil untuk membuat laporan bagi membantu siasatan,"
katanya.
Isu berkenaan terbongkar Isnin lepas, apabila Naib Pengerusi Gerakan
Pulau Pinang Oh Tong Keong mendedahkan klip video yang memaparkan
rakaman perbincangan mengenai pembayaran untuk mendapatkan rumah
kerajaan negeri itu.
Oh berkata isi kandungan perbualan dalam video itu menunjukkan ia
dirakamkan tahun lepas, dan bapa Adun berkenaan dilihat bersama-sama
seorang orang tengah sedang melayan aduan daripada seseorang yang
dipercayai telah membuat pembayaran, namun tidak mendapat rumah
tersebut.
No comments:
Post a Comment