Wednesday, September 21, 2016

Tidak ada peletakan jawatan, Ahmad Razif kekal MB Terengganu

 
 
Ahmad Razif Abdul Rahman
Ahmad Razif Abdul Rahman


Pejabat Menteri Besar Terengganu menafikan berlaku peletakan jawatan oleh Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman hari ini.

Pegawai Khas Menteri Besar, Ahmad Fauzan Abdul Kadir dalam kenyataan kepada media berkata, pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Ahmad Razif sebagaimana digembar gemburkan juga tidak berlaku.

"Ahmad Razif akan terus kekal sebagai Menteri Besar Terengganu sehingga Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang. Itu jaminan Perdana Menteri," katanya.

Beliau menjawab desas desus yang bertiup kencang di Terengganu kebelakangan ini yang mendakwa, Najib akan bertemu dengan Ahmad Razif hari ini untuk memintanya meletakkan jawatan.

Khabar angin itu dilaporkan sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris baru-baru ini yang melaporkan, tempat Ahmad Razif akan digantikan oleh seorang anggota Exco kanan kerajaan negeri.

Ahmad Fauzan menyifatkan, laporan akhbar itu lebih bersifat pandangan peribadi penulis berkenaan berdasarkan perkembangan politik semasa di Terengganu.

Bagaimanapun, katanya, tulisan itu dizahirkan daripada fakta yang tidak tepat dan lebih kepada pandangan penulis semata-mata. - MalaysiaGazette


No comments: