KUALA LUMPUR:
Bagi memastikan pertandingan satu lawan satu dalam Pilihan Raya Umum
(PRU) akan datang, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sedang mengatur
langkah untuk menubuhkan satu pakatan alternatif iaitu semua parti
pembangkang berada dalam satu pakatan.
Menurut Setiausaha Kerja
Eksekutif Bersatu, Kamarul Azman Habibur Rahman, parti itu sedang
berusaha untuk menjadikan pakatan alternatif itu satu realiti malah
rancangan mereka itu juga dikatakan sedang dalam perbincangan.
“Kita sedang cuba sedaya upaya
untuk bekerjasama dengan semua parti pembangkang dengan PAS, dengan
Pakatan Harapan, DAP, PKR dan Amanah (Parti Amanah Negara). Kita cuba
bekerjasama dengan semua.
“Secara tidak rasmi juga, kita
dah pun adakan perbincangan-perbincangan awal untuk mengadakan satu
pakatan alternatif, pakatan pembangkang kepada Barisan Nasional (BN).
“Kita akan beri nafas baru
kepada pakatan pembangkang yang ada di negara ini. Ia akan diberi
identiti baru dan ia mempunyai kekuatan yang baru dan seterusnya
perjuangan yang selaras dengan parti komponen yang ada,” katanya kepada
The Malaysian Times (TMT) hari ini.
Tambah beliau lagi, petang
ini, Bersatu akan membuat satu mesyuarat bagi membincangkan isu tentang
pilihan raya akan datang, tentang borang-borang pendaftaran parti dan
apa-apa perkembangan terkini mengenai Bersatu.
“Mungkin juga kita akan
bincangkan macam mana kita nak kemaskinikan pendaftaran atas talian
sebab hari ini kita akan mulakan pendaftaran secara atas talian,” ujar
Kamarul.
Difahamkan, pendaftaran
keahlian Bersatu boleh dibuat secara atas talian bermula hari ini
selepas seminggu parti tersebut mendapat kelulusan daripada Jabatan
Pendafatran Pertubuhan Malaysia (ROS).
Sebelum ini, pendaftaran
dikatakan hanya boleh dibuat melalui borang sahaja dan menurut Kamarul
yang juga merupakan Presiden Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM)
itu, sehingga ke hari ini, lebih daripada 100 ribu borang pendaftaran
keahlian Bersatu telah diedarkan ke seluruh negara.
“Kita tak tahu berapa ramai
yang telah berdaftar sebagai ahli sebab mereka belum kembalikan borang
kepada kita lagi. Jadi, saya tak boleh nak berikan angka berapa ramai
ahli kita sekarang.
“Tetapi, kalau ikutkan, pada
hari pertama (14 September) sahaja, kita telah keluarkan 10 ribu borang
selepas itu kita keluarkan lagi 40 ribu borang. Yang ini pun telah habis
diambil macam ‘goreng pisang panas’.
“Jadi, saya jangka setakat hari ini sahaja kita telah keluarkan dalam 100 ribu borang,” tegasnya.
Terdapat satu laporan sebelum
ini bahawa sebanyak sebanyak 9,000 orang telah mendaftar sebagai ahli
Bersatu pada minggu lalu sahaja tetapi angka tersebut masih belum
disahkan oleh mana-mana pemimpin Bersatu.
Bersatu ditubuhkan oleh bekas
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama-sama dengan bekas
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tun Mahathir memegang jawatan sebagai Pengerusi Bersatu, manakala Muhyiddin merupakan Presiden Bersatu.
Antara pemimpin parti itu
selain Kamarul adalah bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz
Mahathir, bekas pemimpin Wanita Umno Langkawi, Anina Saadudin, anak
lelaki bekas setiausaha agung Umno, Tan Sri Sanusi Junid , Muammar
Ubaidah Sanusi dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
No comments:
Post a Comment