Monday, September 19, 2016

SPRM didesak siasat penyelewengan RM500,000

 
 
Sebahagian Penduduk Pandan Perdana Residen berkumpul dihadapan pintu masuk Suruhanjaya Pencegah Rasuah di Taman Maluri Kuala Lumpur selepas membuat laporan terhadap pihak Pengurusan Bersama (JMB) yang didakwa menyeleweng duit pengurusan. foto SAFWAN MANSOR. 19 Sept. 2016.
Sebahagian Penduduk Pandan Perdana Residen berkumpul dihadapan pintu masuk Suruhanjaya Pencegah Rasuah di Taman Maluri Kuala Lumpur selepas membuat laporan terhadap pihak Pengurusan Bersama (JMB) yang didakwa menyeleweng duit pengurusan. foto SAFWAN MANSOR.

 
Lebih 3,000 penduduk Rumah Pangsa Kos Rendah di Pandan Perdana mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat akaun Perbadanan Pengurusan Bersama (JMB) rumah pangsa tersebut yang didakwa telah diselewengkan bernilai lebih RM500,000.
 
Wakil penduduk, Chong Kah Siong berkata, wang yang dipercayai diselewengkan itu adalah hasil kutipan yuran bulanan yang dikenakan ke atas setiap rumah untuk tujuan penyelenggaraan termasuklah bil elektrik untuk kawasan sekitar, lif dan air.
 
Chong Kah Siong
 
"JMB sepatutnya membayar yuran yang dikutip itu kepada pihak terbabit seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) tetapi mereka tidak berbuat demikian sejak sekian lama.
 
"Kami pun tak tahu berapa lama mereka tak bayar kepada TNB sehingga keluar berita yang mengatakan TNB akan memotong bekalan elektrik di kawasan rumah pangsa ini.
 
"Adalah tidak adil jika TNB membuat pemotongan dan kami selaku penduduk di sini membantah tindakan tersebut kerana tunggakan melebihi RM500,000 itu adalah dibawah tanggungjawab JMB yang membuat kutipan ke atas kami setiap bulan," katanya pada sidang media di hadapan pejaba SPRM di Taman Maluri, Cheras Kuala Lumpur pagi tadi selepas membuat laporan.
 
Jelas Kah Siong lagi, masalah air yang akan dipotong oleh Syabas juga tidak sepatutnya berlaku ke atas penghuni rumah pangsa tersebut.
 
"Bukan kita tidak bayar tetapi pihak JMB yang tidak menjelaskan kepada Syabas sehingga tertunggak sebanyak RM135,470.
 
"Ketidaktelusan JMB sangat mengecewakan kami dan kami sifatkan mereka sudah cukup melampau walaupun kami telah beberapa kali meminta mereka memberi penjelasan yang tidak mendapat jawapan sewajarnya.
 
"Maka kami terpaksalah datang ke SPRM untuk membuat laporan kerana kami percaya, pihak JMB tidak menunaikan tanggungjawab mereka sebaiknya telah menyusahkan penduduk di rumah pangsa ini," katanya.
 
Seorang penduduk, Yong See Lee ketika ditemui memberitahu, penduduk mahu JMB menyelesaikan masalah tersebut kerana penduduk tidak pernah lupa membayar yuran selenggara yang dikenakan setiap bulan.
 
Yong See Lee
 
"Kita bayar tapi kita tak tahu ke mana duit itu sudah pergi. Sepatutnya mereka jujur dengan kami dan tidak menyusahkan penduduk di sini,” ujarnya yang telah tinggal di situ sejak 12 tahun lalu.
 
Seorang lagi penduduk, Chew Giat Eng berkata, lif di rumah pangsa tersebut sering tidak berfungsi akibat tindakan TNB memotong bekalan elektrik tanpa notis.
 
Chew Giat Eng
 
"Saya sudah tua dan tak larat untuk naik tangga sehingga tingkat tujuh kerana lif tidak berfungsi. Kami sangka lif rosak tetapi rupa-rupanya TNB potong bekalan kerana JMB tidak bayar kos penyelenggaraan.
 
"Kalau JMB tidak bayar, tak perlulah kutip yuran," katanya. - MalaysiaGazette
 
 

No comments: