Tuesday, July 5, 2016

UMNO-EXIT DAN PERLUNYA TUN M TUBUH SEBUAH PARTI BARU

shahbudindotcom


Apa bentuk landasan baru bagi Tun Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin, Shafie Apdal dan Mukhriz Mahathir untuk meneruskan perjuangan mereka masih lagi menjadi persoalan dan tanda tanya ramai.

Pilihan yang ada hanya dua - menubuhkan sebuah parti baru atau menyertai mana-mana parti politik sedia ada?

Bersara dan membiarkan Najib Razak terus berkuasa, tentunya bukan pilihan bagi mereka.

Tun Mahathir dikhabarkan sudah mula mengumpul pandangan rakan-rakan dan beberapa pihak dengan mengadakan pelbagai pertemuan bagi tujuan tersebut. Ramai yang difahamkan cenderung agar Tun Mahathir menginisiatifkan sebuah parti baru dengan segera sebagai altenatif kepada UMNO yang selalu disebutnya sudah menjadi parti Najib sekarang ini.

Muhyiddin pula, selain dilamar oleh Amanah dan PKR Johor untuk bersama-sama mereka, beberapa pimpinan kanan PKR Pusat juga diberitakan ada mengadakan pertemuan dengannya, baru-baru ini.

Sebelum ini, sebaik dipecat daripada UMNO, Muhyiddin turut mengatakan sedang melihat dengan teliti beberapa pilihan mengenai halataju barunya, termasuk kemungkinan menubuhkan sebuah parti baru.

Seorang orang kanan Muhyiddin bagaimanapun memberitahu, bekas Timbalan Perdana Menteri itu masih belum membuat apa-apa pilihan lagi buat waktu ini.

Dengan Tun Mahathir sebagai bekas Presiden UMNO dan Perdana Menteri serta bertanggungjawab memulihkan UMNO setelah diharamkan pada 1988, Muhyiddin berpengaruh di Johor, Shafie di Sabah dan Mukhriz di Kedah, apakah pilihan yang sebaik-baiknya bagi mereka?

Menyertai mana-mana parti politik mungkin jalan paling mudah dan tidak banyak kerja yang harus dilakukan, tambahan lagi PRU 14 tidak sampai dua tahun lagi tarikh tibanya.

Tetapi penyertaan Tun Mahathir, Muhyiddin, Shafie dan Mukhriz dalam parti politik sedia ada - tentunya PKR, DAP atau Amanah yang menjadi pilihan utama, tidak terkecuali bakal menimbulkan masalah yang lain pula. 

Ia bukan saja mengenai parti mana yang harus menjadi pilihan, parti yang disertai itu mungkin bergolak secara dalaman dan mudah dimanipulasi oleh UMNO dan BN, bahkan juga akan menimbulkan kesangsian serta keraguan kepada sebilangan ahli UMNO untuk turut sama menyertainya.

Bagi ahli-ahli UMNO yang bersama dengan perjuangan Tun Mahathir dan sedang "menyampah giler" dengan onar Najib, barangkali ramai antara mereka yang keberatan untuk menjadi ahli PKR, DAP atau Amanah meskipun sedang sehati sejiwa untuk sama-sama menjatuhkan Perdana Menteri.

Pilihan yang terbaik tentunya ialah Tun Mahathir menggunakan segala kepakaran, pengetahuan dan pengalamannya untuk menubuhkan sebuah parti baru yang dipimpin oleh Muhyiddin, Shafie dan Mukhriz yang kini tidak lagi bersama dengan UMNO sebagai peneraju utamanya.

Dengan adanya parti baru itu, bukan saja menyediakan wadah untuk mereka meneruskan perjuangan, bahkan memudahkan untuk ahli-ahli UMNO untuk beralih arah, keluar parti dan  akhirnya menjadikan "UMNO-exit"  benar-benar menjadi kenyataan.

Memainkan sentimen anti-Najib dan menyenaraikan sekian banyak kerosakan yang sudah dilakukannya kepada UMNO dan negara, secara sifir mudahnya, pasti tidak sukar membuatkan mereka yang jujur, ikhlas dan tidak terpalit dengan dedak, untuk bersama-sama dengan Tun Mahathir dalam parti baru itu.

Jika Pas sendiri mengakui, setelah tertubuhnya Amanah, keahlian parti itu berkurangan sekitar 200 ribu orang, rasanya "sap sap sui" saja untuk parti baru yang diinisiatifkan oleh Tun Mahathir dan ditunjangi Muhyiddin, Shafie dan Mukhriz itu untuk mengalihkan antara 300 ribu hingga 500 ribu ahli UMNO untuk bersama-sama mereka.

Parti baru itu juga tidak perlu terlalu risau tentang jumlah keahliannya kerana yang penting, melalui pengaruh Tun Mahathir, Muhyiddin, Shafie dan Mukhriz, ialah mengajak rakyat yang tidak berparti dan atas pagar untuk menyertai mereka menolak kepimpinan Najib.

Dalam parti baru itu, Tun Mahathir tidak perlu memegang apa-apa jawatan, cukup sekadar sebagai penasihat dan tidak perlu juga bertanding lagi dalam pilihanraya akan datang. 

Peranan Tun Mahathir, selain penasihat dan perancang, beliau juga mesti bertanggungjawab menjalinkan kerjasama  lebih kukuh antara parti baru itu dengan PKR, DAP dan Amanah melalui Pakatan Harapan untuk menjadikan gabungan pembangkang lebih efektif dan diyakini sebagai alternatif kepada kerajaan pimpinan Najib sedia ada ini.

Dengan adanya parti baru, "UMNO-exit" akan menderu-deru, gabungan kerajaan alternatif tambah diyakini dan  laluan "exit" untuk Najib yang bakal menggembirakan rakyat Malaysia juga lebih mungkin menjadi realiti.


No comments: