KUALA LUMPUR - Aidilfitri setahun sekali bukanlah alasan untuk makan sepuas-puasnya mengikut nafsu hanya kerana pelbagai juadah enak seperti ketupat, lemang, rendang dan kuih-muih dihidangkan hampir di setiap rumah masyarakat Islam.
Namun, mampukah kebanyakan daripada kita menolak hidangan-hidangan tersebut? Apatah lagi setelah sebulan menjalankan ibadah puasa dan sangat ternanti-nantikan juadah hari raya.
Dalam pada aspek pemakanan, kesihatan dan obesiti menjadi persoalan masyarakat masa kini, bayangkan apa akan terjadi kepada kesihatan sekiranya juadah-juadah tersebut menjadi amalan kita saban hari di sepanjang bulan Syawal.
Boleh dikatakan kesemua hidangan hari raya mengandungi sama ada lemak, gula, garam atau monosodium glutamate(MSG), yang mana jika berlebihan boleh memudarat kesihatan.
Mengehadkan kuantiti supaya tidak makan berlebihan amat penting demi menjaga kesihatan diri di musim perayaan, tegas seorang pengamal perubatan swasta.
Mengulas tabiat pemakanan di musim perayaan, Dr Khairul Idzham Abdul Khalid berkata walaupun pelbagai juadah dihidangkan, amatlah penting bagi setiap individu mengetahui zat-zat yang diperlukan tubuh badan masing-masing.
“Tidak salah untuk makan pelbagai jenis makanan tetapi disyorkan agar tidak berlebih-lebihan kerana boleh memudaratkan organ dalaman kita yang telah sebulan ‘berehat’ ketika berpuasa, kerana secara tiba-tiba terpaksa 'bekerja' keras apabila kita makan dengan banyak atau mungkin juga secara berterusan.
“Selain itu, penting bagi golongan yang mempunyai latar belakang penyakit seperti diabetis, darah tinggi dan kolesterol berlebihan agar tidak mengikut hawa nafsu apabila berhadapan dengan juadah hari raya,” katanya kepada Bernama.
Khairul Idzham turut mengingatkan orang ramai supaya mengelakkan minuman bergula terutamanya minuman ringan atau berkarbonat yang nyata mengandungi kandungan gula yang tinggi.
Beliau seterusnya menasihatkan orang ramai agar mengamalkan minuman air putih atau air kosong bagi mengimbangi kadar gula dalam pemakanan dan seterusnya membudayakan amalan tersebut.
Sebaiknya orang ramai menyediakan makanan sihat kepada para tetamu, katanya yang pada masa sama mengakui perkara tersebut agak mustahil untuk dilakukan.
"Mungkin tuan rumah boleh menyediakan pilihan minuman dan makanan sihat contohnya air putih selain yang bergula, buah-buahan dan makanan yang tidak menggunakan garam, MSG serta gula yang berlebihan.
"Saya percaya secara tidak langsung dapat memupuk budaya pemakanan sihat yang lama-kelamaan akan menjadi ikutan, walaupun proses untuk merealisasikannya akan mengambil masa yang lama," katanya.
Selain itu, Khairul Idzham yang berharap orang ramai tidak terlalu bergantung kepada kenderaan ketika bertandang sewaktu musim perayaan berkata, “Sebaiknya berjalan kaki ketika mengunjungi jiran tetangga jika rumah yang dituju tidak terlalu jauh kerana ia mampu menyihatkan tubuh badan, lebih-lebih lagi setelah makan pelbagai makanan”.
Sementara itu pegawai dietetik di sebuah pusat rawatan perubatan di Lembah Klang, Mohd Khairul Azuan pula mengingatkan orang ramai agar mengamalkan konsep kesederhanaan apabila makan kerana ia bukan sahaja baik untuk kesihatan malah juga merupakan saranan agama.
Sehubungan itu, beliau berkata sambil menyambut kemeriahan hari raya setiap individu juga harus saling berpesan dan memperingatkan antara satu sama akan perlunya amalan pemakanan sihat dan pentingnya menjaga kesihatan.
"Tugas menyebarkan amalan pemakanan sihat sebenarnya melibatkan 50 peratus tenggungjawab tuan rumah, manakala 50 peratus lagi pula sikap dan amalan tetamu.
Masing-masing memainkan peranan penting. Walaupun pelbagai juadah raya yang terhidang, hendaklah sentiasa beringat-ingat demi kesihatan diri.
"Sebagai tuan rumah, memang tidak salah untuk menjamu tetamu terutamanya agama kita juga meminta supaya memuliakan tetamu, namun perlu diingat supaya tidak sehingga memaksa agar tetamu terus makan sedangkan mereka sudah kenyang," katanya.
Mohd Khairul juga meminta penderita penyakit kronik supaya mengawal selera makan agar tidak hilang fokus terhadap kesihatan masing-masing terutamanya setelah sebulan berpuasa kerana lazimnya 'selera makan' seseorang itu akan meningkat ketika musim perayaan berbanding hari-hari biasa.
Beliau yang bersetuju dengan Khairul Idzham juga turut berpesan agar orang ramai mengurangkan pengambilan makanan bergula, berlemak, berminyak, bergaram dan bersantan sebanyak mungkin khasnya bagi mereka yang mempunyai penyakit seperti diabetes, darah tinggi dan masalah jantung.
"Walaupun musim raya, penting untuk terus bersenam dan melakukan aktiviti riadah,” ujarnya. - Bernama
No comments:
Post a Comment