GUA MUSANG - "Mak sempat tengok kemalangan di Renok, malam tadi, namun tidak sangka itu adalah Amin dan keluarga," kata Minah Yasin, 67, ibu kepada mangsa kemalangan maut, di Kilometer (11), Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini.
Menurut ibu kepada Mohd Amin Firdaus Zakaria, 29, dia dan suami, Zakaria Daud, 69, juga dalam perjalanan pulang ke Kampung Jeram, dengan menaiki bas setelah berada di Shah Alam, kerana menziarahi anak perempuannya yang sakit.
"Mak berada di Shah Alam selama empat hari dan Amin dari Johor Bahru turut ke Shah Alam untuk menziarahi kakaknya dan mengambil kakak iparnya, Munira Ahmad Latfi, untuk pulang ke kampung bersama.
[ARTIKEL BERKAITAN: Tujuh sekeluarga maut, kereta dirempuh lori]
"Mak dan ayah naik bas dan bertolak dalam masa yang sama, iaitu jam 8.45 malam semalam. Bila sampai di Merapoh, bas berhenti rehat sebentar dan meneruskan perjalanan pada jam 1 pagi.
"Sampai di tempat kejadian, mak nampak kemalangan tersebut, namun tak nampak kereta mereka. Mak nampak kereta putih sahaja dan tidak menyangka kemalangan itu melibatkan mereka lapan sekeluarga," katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Gua Musang (HGM).
[ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya reda, mereka datang dan pergi bersama']
Tambah Minah, dia dan suami tiba di Pasir Puteh pada jam 4 pagi dan dimaklumkan mengenai kemalangan itu pada jam 5 pagi selepas selesai bersahur.
"Mak macam tak percaya sebab baharu sahaja kami jumpa. Amin sempat menunjukkan baju dan selipar raya mak dan ayah yang dia beli. Itu adalah pemberian pertama dia untuk mak kerana baharu sahaja bekerja sebagai guru di Johor Bahru.
"Tiada sebarang perubahan pelik arwah tapi mak tak sangka, ini adalah pemberian pertama dan terakhirnya buat kami. Kami reda dengan kehilangan anak bungsu kami ini, ALLAH lebih menyayangi mereka," katanya lagi.
Kesemua tujuh sekeluarga itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kubang Badak, Kota Jembal, Kota Bharu
No comments:
Post a Comment