Oleh Abdul Rahman Malik
[ULASAN] Adakah
tempoh ‘asmara pandang pertama’ di antara Tan Sri Muhyiddin Yassin
dengan Pakatan Harapan (PH) akan terencat apabila diselar oleh
Solidariti anak muda (SAMM) yang amat sensitif soal nilai perjuangan?
SAMM dengan lantang menjerkah ‘masalah komunikasi’ di kalangan
pemimpin-pemimpin PH yang 'tergila-gilakan' Muhyiddin yang baru ditalak
Umno sebagai Timbalan Presidennya.
Sebagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang memang amat sensitif soal nilai
dan amalan budaya politik, SAMM menolak pandangan Amanah yang
dilaporkan menyokong idea Muhyiddin Yassin menjadi ketua pembangkang
baru.
Mahathir, Muhyiddin akan sertai Umno semula lepas misi jatuhkan Najib berhasil
Penyelaras Muda SAMM, Faisal Zainal berkata, perkara berkenaan tidak
boleh dipertimbangkan kerana Muhyiddin semasa berkhidmat dalam kerajaan,
telah bertindak melakar dan menyokong dasar-dasar yang menindas rakyat.
"Antaranya pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), Akta
SOSMA, Pindaan Akta Hasutan, Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan
Belanjawan Negara yang menindas rakyat.
"Soalnya, adakah Muhyiddin semasa beliau berkuasa sebagai Timbalan
Perdana Menteri gagal memahami derita rakyat. Dan setelah hilang kuasa
baru nak fahami derita rakyat?," katanya dalam satu kenyataan.
Faisal menegaskan bahawa tiada keperluan untuk Muhyiddin diangkat
sebagai ketua pembangkang baru. Malah beliau tidak perlu dibawa masuk
dalam 'rumah' perjuangan PH.
"Pasukan Mahathir dan Muhyiddin hanya mahu menggunakan Pembangkang dalam misi menggulingkan Najib sebagai Perdana Menteri.
"Selesai misi Najib digulingkan, Pasukan Mahathir dan Muhyiddin akan
meyertai Umno semula, kembali berkuasa dan kembali memijak pembangkang.
"Semoga pimpinan Pakatan Harapan sedar mengenai perkara ini sebelum
terlambat dan tidak dipatuk dari lubang yang sama," ujarnya lagi.
Media dituduh salahlapor
Semalam, sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang memetik kenyataan Ahli
Jawatankuasa Pusat Amanah, Mazlan Aliman berkata, parti itu mahu
Muhyiddin dipertimbangkan sebagai ketua pembangkang baharu PH.
Mazlan juga dikatakan mengakui wujud perbincangan dalam parti untuk
mencadangkan pelantikan bekas Timbalan Presiden Umno itu ke seluruh
pimpinan Pakatan Harapan.
Bagaimanapun Mazlan kemudian tampil menafikan perkara berkenaan dan
mendakwa laporan tersebut jauh tersasar serta berniat jahat.
Penegasan itu diulangi oleh Pengarah Komunikasi Amanah, Abdul Khalid
Samad yang berkata, Mazlan Aliman sebenarnya bermaksud Amanah Johor
sedia memberi platform untuk Muhyiddin bersuara.
"Ini memandangkan Muhyiddin ketika ini pemimpin yang tidak berparti.
Jadi, kenyataan yang dikeluarkan tidak ada kena mengena dengan soal
Muhyiddin menjadi ketua pembangkang," katanya.
Malah kata Khalid, Amanah Johor juga tiada kuasa untuk melantik sesiapa menjadi ketua pembangkang.
Benar atau tidak Mazlan disalahlapor oleh akhbar, yang penting
Muhyiddin tiba-tiba dilihat sebagai ‘tenaga’ yang berpotensi menjana
semangat baru mengukuhkan pembangkang.
Bukan hanya Amanah, PKR juga alu-alukan Muhyiddin
PKR, misalnya, mengalu-alukan penyertaan Muhyiddin Yassin dan Datuk
Seri Mukhriz Mahathir sekiranya mereka mahu meneruskan perjuangan
politik mereka bersama pakatan pembangkang.
Ketua
Penerangan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh ketika mengulas kenyataan Ketua
Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Datuk Saifuddin Abdullah berkata,
gabungan itu menunggu masa yang sesuai bagi ‘melamar’mereka.
"Kita setuju dengan apa yang diperkatakan oleh Saifuddin. Di dalam PKR
sendiri, kita mengalu-alukan kemasukan dan bantuan sokongan daripada
semua pihak yang boleh bersama dengan perjuangan parti.
"Satu 'boost' atau sokongan baik yang boleh beri lonjakan kepada perjuangan PH," katanya.
Malah Syed Ibrahim juga tidak menolak ada pihak di dalam PH sudah
mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin dan Mukhriz bagi menyertai
gabungan pembangkang itu.
"Secara tidak formal, ramai pihak sudah terlibat dan buat perbincangan.
Sama ada menawarkan mereka ke dalam parti, belum lagi secara formal,"
katanya lagi.
Terkecuali DAP yang kini sibuk dengan ujian kewibawaan Setiausaha
Agungnya menghadapi kes rasuahnya, PKR dan Amanah sebenarnya mendedahkan
betapa mereka kurang yakin dengan daya dan mutu kepimpinan mereka sendiri.
Bak kata SAMM, tidakkah mereka menyemak rekod Muhyiddin terlebih dahulu
sebelum berebut-rebut cuba menangguk di air keroh dan sibuk mahu
‘melamar’ bekas timbalan perdana menteri itu.
Pakatan Harapan tandus pemimpin pelapis?
Tidakkah mereka meneliti apakah kesannya ‘campurtangan’ bekas presiden
Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kempen pilihan raya kecil Sungai
Besar yang baru lalu yang tidak membantu peningkatan undi calon PH?
Sudah tandus atau tepu sangatkah strategi politik PKR dan Amanah hingga
melihat personaliti yang bermasalah adab dalam Umno mahu dijunjung
sebagai penjana semangat baru?
Lazimnya, pembangkang amat kritis terhadap wibawa dan personaliti
Umno-BN. Bagaimanapun kini apabila ada bekas pemimpin Umno yang dipecat
parti, mereka berebut-rebut untuk menjadikannya sumber kekuatan baru.
Jika ditakdirkan Muhyiddin mampu menyumbang satu kerusi untuk
pembangkang, tidakkah itu menyerlahkan bahawa PH hanya memanfaatkan ahli
politik asuhan Umno? Tidakkah itu merestui kaedah perkaderan politik
Umno?
Itu belum diambil kira soal Mukhriz yang turut sama dipecat oleh Umno.
Menurut rekod, pencapaian politiknya tidaklah gah mana. Malah beliau
gagal merebut jawatan Ketua Pemuda Umno walaupun bermodal beliau putera
Mahathir.
Jika PKR dan Amanah begitu terliur dengan reputasi Muhyiddin dan
Mukhriz, bagaimana dengan program perkaderan politiknya sendiri.
Tidakkah ‘kemaruk’ memiliki ahli politik kitar semula begini akan
merendahkan martabat sendiri?
Rindu sangatkan PKR pada Anwar Ibrahim sehinggakan tergila-gila untuk
merekrut Muhyiddin yang kebetulan pernah memegang jawatan timbalan
perdana menteri.
Tidakkah aura Muhyiddin dan Anwar adalah bak bumi dengan langit.
No comments:
Post a Comment