Oleh Nur Atiqah Abd Samad
SHAH ALAM: PKR adalah 'pengikat' antara parti pembangkang iaitu
DAP-PAS-Amanah walaupun Pakatan Rakyat (PR) sudah berpecah dan kini
menubuhkan Pakatan Harapan (PH).
Naib Presiden PKR, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, sekiranya
peranan yang dimainkan parti ini kekal sehingga Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU14), tidak mustahil pakatan itu mampu mengekalkan prestasi yang
pernah diraih pada 2008 dan 2013.
"Saya kira PKR adalah pengikat dan penghubung dikalangan parti
pembangkang, saya ingat kalau berjaya diteruskan bermakna pencapaian
yang kita dapat sejak 2008 dan 2013 itu akan diteruskan walaupun ada
beberapa gangguan di sana sini.
"Saya kira peranan yang dimainkan PKR itu adalah satu peranan yang amat
relevan dalam keadaan politik sekarang ni," katanya secara eksklusif
kepada Antarapos.
Selepas penubuhan PH, hanya PKR yang mempunyai hubungan baik dengan PAS
dan parti komponennya yang lain (DAP dan Amanah) tidak menunjukkan
tanda-tanda untuk berbaik dengan parti itu.
Disebabkan kerjasama yang dingin itu pembangkang kalah teruk pada
Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Mei lalu dan di dua Pilihan Raya Kecil
(PRK) pada Jun.
Kekalahan itu akibat daripada kegagalan pembangkang mencapai kata
sepakat dalam soal pembahagian kerusi hingga menyaksikan pertandingan
tiga penjuru.
Justeru Shaharuddin berkata PKR akan memastikan hubungan 'baik' antara
parti pembangkang diperbaiki demi berdepan satu lawan satu dengan
Barisan Nasional (BN) sekaligus merealisasikan harapan untuk menawan
Putrajaya.
"Pendirian PKR itu adalah memastikan perjalanan satu lawan satu itu,
supaya apa yang berlaku pada 2008 dan 2013 itu dapat diteruskan.
"Kerana kita yakin bahawa dalam persaingan PRU satu lawan satu ini akan
beri kelebihan kepada oposisi berbanding tiga penjuru sudah pasti
ketiga-tiga pihak akan berhadapan dengan masalah yang besar," katanya.
Mengulas mengenai inisiatif yang akan digunakan PKR dalam menjernihkan
hubungan antara DAP, PAS dan Amanah, Shaharuddin berkata walaupun PAS
enggan memberi kerjasama yang baik buat masa ini, namun perkara itu
boleh diusahakan demi kebaikan rakyat.
"Memang kita masih dalam PH dan dalam waktu yang sama kita harus
mengekalkan hubungan dengan PAS. Walaupun pemimpin-pemimpin PAS sudah
nyatakan mereka tak boleh bergabung dengan Amanah dan DAP tapi itu
pandangan parti masing-masing," ujar beliau.
No comments:
Post a Comment