MALAYSIAKINI
Majlis antara agama di Malaysia mempersoalkan sikap membisu perdana
menteri berhubung pelabelan 'kafir harbi' oleh Mufti Pahang Datuk Abdul
Rahman Osman terhadap mereka yang menentang hudud .
Menurut Majlis Perundingan Buddhsim, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao
Malaysia (MCCBCHST) kenyataan itu adalah sesuatu yang menghasut.
"MCCBCHST bingung dengan sikap membisu perdana menteri kita dan
pemimpin lain mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh mufti itu.
"MCCBCHST berpendapat, gesaan mufti itu adalah suatu provokasi
berbahaya yang boleh menjejaskan kestabilan negara yang mana rakyat
berbilang kaum dan agama telah hidup dengan aman dan damai selama lebih
daripada setengah abad," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan hari
ini.
Kumpulan itu berkata istilah 'kafir harbi', yang sesetengah pihak
mentafsirkan sebagai halal ditumpahkan darah mereka itu adalah hasutan
kerana ia menggalakkan orang ramai untuk melakukan pembunuhan dan jelas
ini tidak mengikut perlembagaan.
Pada 24 Jun lalu, Abdul Rahman dipetik oleh Utusan Malaysia sebagai
melabel DAP sebagai 'kafir harbi' kerana menentang tindakan PAS untuk
melaksanakan hukum hudud di Kelantan.
Mufti itu kemudiannya menjelaskan istilah berkenaan bukan ditujukan
hanya kepada DAP tetapi juga kepada semua masyarakat bukan Islam yang
menentang hukum hudud.
Di sebalik bantahan seluruh negara berhubung kenyataannya itu yang
dianggap pengkritiknya sebagai berbahaya dan tidak bertanggungjawab,
Abdul Rahman enggan berganjak.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) kemudiannya mengeluarkan kenyataan yang
berkata kenyataan mufti itu hanya pendapat peribadi dan bukan fatwa
rasmi.
Namun kumpulan seperti Persekutuan Kristian Malaysia mendesak perdana menteri sendiri supaya tampil menegur mufti itu.
No comments:
Post a Comment