MALAYSIAKINI
Selepas menamatkan tugasnya sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika
Syarikat pada 7 Julai lepas, Datuk Dr Awang Adek Hussin kini kembali
aktif dalam arena politik khususnya bagi menguatkan kedudukan Umno
Kelantan menghadapi pilihan raya umum Ke-14 (PRU14).
Sepanjang berkhidmat sebagai duta besar selama dua tahun tiga bulan,
beliau masih merupakan ketua Umno bahagian Bachok namun jawatan itu
dipangku oleh timbalannya Datuk Dr Ilias Hussain.
Awang Adek berkata beliau bertekad meneruskan perjuangannya selagi
mendapat sokongan rakyat di peringkat akar umbi terutama di bahagian
Bachok.
"Dalam tempoh terdekat ini, saya akan bersama-sama Dr Ilias dan anggota
jawatankuasa Umno bahagian Bachok bagi mengatur strategi memperkuatkan
parti,"katanya kepada pemberita di majlis sambutan Aidilfitri di
kediamannya di Perupok semalam.
Awang Adek berkata Umno bahagian Bachok akan berusaha untuk menawan
kembali kerusi Parlimen Bachok dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri
iaitu Jelawat, Perupok dan Tawang yang kini dikuasai oleh PAS.
Ditanya pengalamannya sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika
Syarikat,beliau berbangga dapat berkhidmat di sebuah negara yang amat
berkuasa di dunia sama ada dalam bidang ekonomi, ketenteraan dan
kecanggihan teknologi.
"Sepanjang berada di negara itu, saya berusaha merapatkan jurang
persefahaman untuk menggalakkan bidang pelaburan dan merapatkan hubungan
antara rakyat bagi faedah kedua-dua negara," katanya.
Beliau menerima watikah pelantikan sebagai Duta Besar Malaysia ke
Amerika Syarikat daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim
Mu'adzam Shah pada 31 Mac 2014.- Bernama
No comments:
Post a Comment