Saturday, June 4, 2016

Pas kena terjemah politik matang dan sederhana

Pas kena terjemah politik matang dan sederhana
Ahmad Jazlan (tiga kiri) menyampaikan replika cek kepada wakil biro agama setiap parlimen, hari ini.


KOTA BHARU - Pas sepatutnya menterjemah budaya politik matang dan sederhana (BPMS) sejak dulu lagi, bukan mengeluarkan dakwaan tidak berasas kepada parti lain.

Timbalan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, Umno sudah lama mengamalkan BPMS yang menyuarakan pandangan betul serta benar sahaja.

"Kita nyatakan pendirian dan mengotakan apa yang dijanjikan, tidak seperti pembangkang yang dilihat sering memutar belitkan fakta.

"Pada saya, apa yang berlaku ketika ini dalam pakatan pembangkang berpunca dari amalan politik tidak matang," katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Skuad Ta'awun dan Program Ihya Ramadan 1437 peringkat negeri di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Pasir Tumboh, hari ini.

Beliau mengulas ucapan dasar dan yang disempurnakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa perasmian Muktamar Pas Kali ke-62 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), yang menyatakan BPMS dalam perjuangan Pas perlu diamalkan oleh semua parti politik di Malaysia demi mewujudkan suasana lebih sejahtera dan harmoni.

Turut hadir, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ahmad Jazlan yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, jika Pas mengamalkan budaya itu sejak dulu lagi, sudah pasti landskap politik negara tidak seteruk hari ini.

"Apa yang berlaku dalam pakatan pembangkang ketika ini berpunca dari amalan politik tidak matang.

"Saya yakin dan percaya rakyat di Sungai Besar dan Kuala Kangsar sudah lama matang dan pasti mereka akan terus memilih BN pada PRK nanti," katanya.


No comments: