KUALA LUMPUR: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi pada Isnin
bahawa beliau tidak pernah melihat enam lelaki yang imej mereka
dirakamkan di dua buah hotel, dua hari sebelum Timbalan Pendakwa Raya
Datuk Anthony Kevin Morais ditemukan mati pada 16 September lalu.
Juruanalisis Unit Siasatan Audio Video Makmal Forensik Polis Diraja
Malaysia Insp Mior Samsul Abdul Rahman berkata beliau hanya melihat
kesemua lelaki tersebut melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di
Hotel New Town dan Hotel Go di Petaling Jaya.
Ketika pemeriksaan balas peguam V. Rajehgopal, Mior Samsul memberitahu
kesemua imej lelaki yang difokuskan itu diambil atas arahan Pegawai
Penyiasat ASP Wan Abdullah Wan Said.
Ketika ditanya Rajehgopal bagaimana beliau boleh mengenali dan
memfokuskan individu yang dikehendaki ASP Wan Abdullah, saksi ke-26 itu
berkata melalui ciri-ciri fizikal termasuk rambut, bentuk badan dan
warna kulit yang diberitahu pegawai penyiasat itu.
Mior Samsul bagaimanapun bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa
beliau merakamkan imej kesemua lelaki itu secara rawak berdasarkan
arahan dan petunjuk daripada ASP Wan Abdullah.
Rajehgopal: Ini bermaksud sebelum 20 September, sebelum kamu ambil
rakaman, kamu pergi jumpa individu yang kamu nak fokuskan? Anda pernah
lihat mereka sebelum ini?
Mior Samsul: Tidak. Sebelum itu saya tak pernah lihat mereka.
Rajejgopal: Siapa yang suruh kamu fokuskan individu-individu ini?
Mior Samsul: ASP Wan Abdullah
Enam lelaki - G.Gunasekaran, 48, R.Dinishwaran, 24, A.K. Thinesh Kumar,
23, M.Vishwanath, 26, S.Nimalan, 23, dan S.Ravi Chandaran, 45, mengaku
tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh Kevin Morais antara 7 pagi
dan 8 malam, 4 September, 2015, di antara Jalan Dutamas Raya Sentul dan
No.1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya.
Kol Dr R. Kunaseegaran, 53, yang merupakan tertuduh pertama, mengaku
tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan enam lelaki itu
dalam pembunuhan Kevin Morais di tempat, tarikh dan masa sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung.
No comments:
Post a Comment