KUALA LUMPUR: PAS menafikan ada mengikat perjanjian dengan Umno seperti
yang didakwa Datuk Seri Muhkriz Mahathir berkaitan penyerahan tiga
negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu selepas Pilihan Raya Umum
Ke-14 (PRU 14).
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa dakwaan itu
adalah tidak benar sama sekali dan tidak boleh dipercayai.
Menurut Ahli Parlimen Marang itu, sepanjang beliau menjadi Presiden
PAS, perkara itu tidak pernah dibincangkan antara kedua-dua parti dan
PAS hanya akan bertanding dalam PRU-14 untuk mendapatkan negeri-negeri
berkenaan.
“Berita palsu (tentang penyerahan negeri-negeri itu). tidak ada perjanjian dan kita tidak pernah berbincang.
“ PAS hanya akan bertanding (dalam PRU-14) untuk dapatkan negeri-negeri
itu,” katanya selepas menyampaikan kuliah Zuhur di Ibu Pejabat Agung
PAS petang semalam.
Terdahulu bekas Menteri Besar Kedah itu mendakwa perjanjian antara
Umno-PAS dipercayai wujud untuk membahagi negeri-negeri berkenaan di
bawah pemerintahan PAS selepas PRU-14.
Dalam pada itu, mengulas mengenai tindakan bekas Perdana Menteri, Tun
Dr. Mahathir Mohamad yang sanggup bersekongkol dengan DAP bagi
menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,
Abdul Hadi
berkata, PAS menolak cara sedemikian kerana ia berbeza dengan tujuan PAS
untuk membuat perubahan kepada negara dan bukannya menukar individu
semata-mata.
Beliau berkata, PAS tidak akan menggunakan pengaruh DAP untuk
mendapatkan sokongan ke atas sebarang gerakan bagi menjatuhkan pemimpin,
sebaliknya parti itu mempunyai cara penyelesaian Islam yang diguna
pakai sejak sekian lama.
“Berlainan dengan tujuan PAS (menjatuhkan pemimpin). Tujuan PAS untuk
membuat perubahan negara sejak dahulu lagi dan bukannya tukar individu.
“Kita tidak terima penyelesaian DAP kerana kita adalah Islam. Terpulang
kepada Dr. Mahathir kerana ini demokrasi. Tetapi bagi PAS akan terus
istiqamah dengan pendekatan Islam,” katanya.
No comments:
Post a Comment