Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak masih mengulangi paten kabinet yang sama, bahkan lebih buruk dengan peletakan jawatan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Husni Hanadzlah.
Kabinet yang masih dalam skala besar (pastinya dengan perbelanjaan mengurus yang besar), portfolio antara kementerian yang tidak bersepadu, menjadikan kabinet kali ini lebih buruk berbanding sebelumnya.
Berapa juta lagi Perdana Menteri mahu bazirkan setiap tahun untuk membayar gaji dan elaun menteri-menteri yang rakyat rasakan sebagai membazir dan tidak perlu?
Gaji pokok sebagai ahli parlimen ialah RM16,000. Jika dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri, kerajaan perlu menyediakan tambahan RM14,907.20 dan RM10,847.65 lagi untuk setiap perjawatan.
Itu tidak termasuk elaun-elaun lain yang total jumlahnya menghampiri gaji pokok! Dengan keadaan kewangan negara yang semakin tenat, mengapakah Perdana Menteri mahu meneruskan trend pembaziran ini?
Lebih merunsingkan, kita tertanya-tanya di mana kedudukan bakat-bakat muda dalam kabinet kali ini? Dengan pengambilan 'menteri recycle' seperti Tan Sri Noh Omar, pengekalan menteri seperti Datuk Seri Azalina Othman dan Datuk Seri Shahidan Kasim dengan portfolio mengurus Parlimen yang sangat minimum sifatnya, tiadanya pertambahan portfolio penting dan kritikal kepada Ketua Pergerakan Pemuda Umno,
Khairy Jamaluddin yang masih kekal dengan portfolio tradisi, menunjukkan tiadanya anjakan baru yang mahu diaspirasikan oleh Perdana Menteri ketika ini.
Bahkan lebih teruk, bakat-bakat muda daripada parti-parti komponen khususnya parti-parti daripada Sabah dan Sarawak langsung tidak diberi ruang untuk dibawa dalam Jemaah Menteri kali ini.
Ia menguatkan lagi telahan ramai bahawa Datuk Seri Najib hanya ingin 'menggunakan' sahaja pemimpin-pemimpin politik daripada Borneo untuk mengekalkan kedudukannya di Putrajaya, tanpa sedikit pun mahu berkongsi kuasa sebagaimana semangat Perjanjian Malaysia 1963.
Belum lagi ditelusur bakat-bakat muda daripada MIC dan MCA yang langsung diketepikan terus. Jika ada pun, hanyalah muka lama yang dilihat setia mengampu Datuk Seri Najib sebelum ini seperti Datuk Chua Tee Yong yang diletakkan sebagai Timbalan Menteri Kewangan.
Tiada langsung sosok-sosok baharu yang dibawa masuk untuk
meremajakan imej Kerajaan Persekutuan yang rosak teruk bawah kendalian Datuk Seri Mohd Najib Razak.
Pemuda Amanah merasakan rombakan kabinet ini langsung 'tidak bernafsu' untuk mengembalikan negara ke laluan yang selamat dan dijangka akan terus terjunam imejnya di mata dunia.
Dengan pengekalan Perdana Menteri, yang pastinya masih individu bermasalah, tiada bakat-bakat baru yang boleh membaiki keadaan, rombakan ini jelas merupakan rombakan yang gagal.
Perdana Menteri harus bersedia dengan segala risiko atas rombakan yang ditanggap tidak mampu membawa keluar negara daripada kemelut kewangan dan krisis kepercayaan yang amat parah.
Jika beliau berhasrat mahu membubarkan Parlimen dalam masa terdekat, dengan tradisi 'politik dedak' yang masih berleluasa, Datuk Seri Najib harus bersedia mencongak lubuk kewangan mana lagi yang mahu ditarah.
Kerisauan kita paling asas ialah, rakyat seperti biasa - dalam banyak keadaan - poket merekalah yang bakal menjadi mangsa nombor satu!
*Penulis Sany Hamzan adalah Ketua Pemuda Amanah Nasional.
No comments:
Post a Comment