Saturday, June 4, 2016

Muktamar perlihat PAS ambil 'jalan selamat'

ULASAN Muktamar Tahunan PAS ke-62 kali ini memperlihatkan parti Islam itu mengambil 'jalan selamat' dengan membawa agenda budaya politik matang dan sejahtera menjadi gagasan baru parti itu.

Agenda itu dilihat sebagai satu langkah bagi meneruskan perjuangan mereka dalam kancah arus politik semasa.

Malah, dengan mengetengahkan agenda tersebut, PAS juga dilihat bercita-cita dan berharap dapat menawan Putrajaya bersendirian.

Namun, sebelum sampai ke tahap itu, PAS terlebih dahulu ingin menjadi penasihat kepada kerajaan melalui pendekatan ta'awun siyasi dengan menolak politik dendam dan kebencian.

Oleh itu, PAS kini mengambil pendekatan untuk tidak akan menentang dan menghentam sebaliknya menawarkan penyelesaian kepada masalah yang wujud dan terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang boleh menerima prinsip perjuangan mereka.

Sehubungan itu, ia sedikit sebanyak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat sama ada PAS mahu menjadi sebuah parti politik yang ingin memerintah atau sekadar parti yang mesra pemerintah.

Pada muktamar kali ini juga, usul dibawa oleh Dewan Muslimat yang meminta PAS mengkaji semula hubungan kerjasama dengan PKR menjadi perhatian.

Bagaimanapun, usul tersebut tidak dibahaskan pada sidang muktamar sebaliknya ia di bawa terus ke Majlis Syura.

Ia tindakan sama pada muktamar tahun lalu apabila usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP dibawa terus ke Majlis Syura dan tidak dibahaskan.

Tindakan itu dilihat sebagai langkah yang diambil parti Islam berkenaan bagi mengelakkan ia terus dijadikan 'isu hangat' terutamanya menjelang pilihan raya kecil 18 Jun depan.

Ia juga bagi mengelakkan lebih banyak luahan serta rasa tidak puas hati anggota akar umbi parti terhadap PKR.

Malah, Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustafa Ali turut mengambil langkah segera dengan memberi kenyataan bahawa parti itu akan terus mengekalkan tahaluf siyasi bersama PKR.

Langkah Mustafa yang mempertahankan kerjasama itu dianggap 'bijak' ketika parti itu kini tidak bergantung pada mana-mana pakatan atau gabungan selain bersama Parti IKATAN.

Walaupun Mustafa mengeluarkan kenyataan 'selamat' , namun cakap-cakap akar umbi parti yang tidak berpuas hati terhadap PKR tidak dapat disekat terutamanya terdapat perwakilan Dewan Pemuda PAS turut bersependapat supaya parti Islam itu mengkaji semula kerjasama bersama PKR.

Selain itu juga, dengan menyuntik nilai kemelayuan sejati pada muktamar kali ini, tidak salah jika dikatakan bahawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat sebagai pahlawan PAS terutamanya apabila berjaya membawa usul rang undang-undang persendirian Akta 355 di Parlimen.

Ia dapat dibuktikan semasa sidang dewan-dewan serta muktamar pusat rata-rata perwakilan memuji 'keberanian' anggota parlimen Marang itu dalam memperjuangkan rang undang-undang berkenaan.

Malah, Hadi juga dalam ucapan penggulungannya turut memberi penjelasan berhubung bagaimana rang undang-undang persendirian itu dapat dibaca pada sidang Parlimen yang lalu.

Menjadi muktamar pertama selepas golongan profesional disingkirkan, ia juga dilihat medan bagi perwakilan termasuk pimpinan untuk 'menyindir' bekas rakan seperjuangan mereka yang kini berada dalam Parti Amanah Negara (AMANAH).

Dengan ketiadaan golongan 'penentang' dalam parti, muktamar PAS kali ini dilihat lebih tenang berbanding sidang sebelum ini.

No comments: