Tuesday, June 28, 2016

Kajian: Cina kurang puas hati dengan prestasi Azmin

Tinjauan terbaru mendapati 65 peratus rakyat Selangor berpuas hati dengan pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali.

Berdasarkan kajian Merdeka Center, seramai 51 peratus berpuas hati manakala 14 peratus lagi sangat berpuas hati.

Hanya 21 peratus tidak berpuas hati dan selebihnya tidak pasti (13 peratus) dan enggan menjawab (1 peratus).

Daripada pelbagai latar belakang, termasuk bangsa, jantina, kawasan perbandaran, kawasan berinternet, had umur, pendapatan isi rumah, pekerjaan dan tahap pendidikan, Azmin rata-rata berada di tahap 60 peratus.

Tinjauan melalui telefon dibuat antara 28 Mei hingga 5 Jun lalu.
Ia melibatkan 1,011 responden daripada pelbagai kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Selangor.

Sementara itu, merujuk kepada prestasi kerajaan negeri, seramai 73 peratus berpuas hati, manakala 23 peratus pula sebaliknya.

Kajian juga menunjukkan bahawa responden Cina agak hambar dengan prestasi Azmin berbanding dengan kumpulan etnik yang lain.

Empat puluh empat peratus daripada responden Cina merasakan bahawa Selangor berada di landasan yang betul, berbanding dengan 68 peratus Melayu dan 64 peratus India.

Ada juga berpendapat kerajaan negeri menuju ke arah yang salah kerana keadaan ekonomi, iaitu kos sara hidup yang tinggi, kekurangan wang, GST, kenaikan harga rumah dan pengangguran.

Walau bagaimanapun, 53 peratus responden Cina berkata mereka berpuas hati dengan transformasi dan perubahan yang dibawa oleh Azmin dalam menguruskan negeri itu.

Kajian yang sama mendapati 72 peratus Melayu dan 66 peratus India berpuas hati dengan transformasi dan perubahan oleh pemimpin PKR itu.

Hanya 56 peratus responden Cina bersetuju bahawa kerajaan negeri mengutamakan rakyat, manakala 74 peratus masyarakat Melayu percaya ia adalah mesra rakyat.


No comments: