SUARA KEADILAN
KEADILAN kesal dengan tindakan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) yang telah membuat penangkapan terhadap Ketua Menteri
Pulau Pinang, YAB Lim Guan Eng, petang tadi (semalam) sewaktu beliau
mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau
Pinang.
YAB Lim Guan Eng sebelum ini telah memberi kerjasama sepenuhnya
kepada pihak SPRM. Kami berpendapat tangkapan petang tadi adalah tidak
perlu, malah cara ia dibuat dengan kehadiran anggota yang begitu ramai
seperti YAB Lim Guan Eng itu seorang penjenayah yang amat berbahaya.
Penangkapan
dan pendakwaan YAB Lim Guan Eng mengukuhkan persepsi rakyat bahawa
wujud satu usaha sistematik dan terancang untuk menakut-nakutkan dan
mengganggu pimpinan politik tertinggi pembangkang sebelum tibanya PRU14.
Malah, umum belum lagi melihat sebarang tindakan diambil SPRM berkaitan
skandal-skandal kewangan besar seperti 1MDB dan “derma” RM2.6 bilion.
Apakah hanya pihak pembangkang yang patut menerima layanan seperti YAB
Lim Guan Eng, manakala mereka di pihak kerajaan pula menikmati kekebalan
di sisi undang-undang?
Oleh itu, KEADILAN menggesa pihak SPRM melengkapkan siasatan dan
membawa ke muka pengadilan mereka yang terlibat dalam skandal-skandal
kewangan tersebut agar terbukti tahap profesionalisme SPRM dan tidak
timbul persepsi di khalayak umum bahawa berlakunya pendakwaan terpilih
dan terancang.
Inilah peluang terbaik bagi Tan Sri Dr Abu Kassim, Ketua
Pesuruhjaya SPRM, meninggalkan legasi buat SPRM dan membuktikan SPRM
bukannya alat politik pemerintah sebelum beliau bersara.
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ketua Pembangkang / Presiden KEADILAN
No comments:
Post a Comment