Oleh Azizul Osman
SHAH ALAM: Parti Amanah Negara (PAN) dilabel sebagai parti 'pengacau'
dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar, petik
laporan komentar Utusan Malaysia hari ini.
Menurut penulis, selepas PAS, PAN pula dilihat sebagai 'kuda tungangan'
DAP dan PKR yang tidak mempunyai apa-apa kekuatan berbanding PAS yang
kini berani mengorak langkah bersendirian selepas meninggalkan Pakatan
Rakyat (PR).
"PAN bukan tandingan PAS malah sama sekali tidak akan mampu mencontohi
waima parti-parti serpihan PAS lain seperti Hizbul Muslimin (HAMIM) dan
Angkatan Keadilan Islam Malaysia (AKIM).
"Justeru pemimpin-pemimpin PAN tidak boleh marah jika ada pihak
khususnya daripada PAS melabel mereka sebagai 'parti pengacau'. Dahulu
ketika berada dalam PAS, mereka mengganggu kestabilan dan perjuangan PAS
apabila lebih bersedia menyokong apa juga tindakan DAP dan PKR biarpun
bertentangan dengan dasar PAS," kata penulis.
Malah selepas meninggalkan PAS, golongan yang menubuhkan PAN terus
menerus mengganggu parti itu apabila berkeras mahu meletakkan calon
mereka di PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
"PAN tahu mereka tidak ada kekuatan. Mereka hakikatnya tidak layak pun
untuk mencabar Barisan Nasional (BN) mahupun PAS. Namun PAN bernafsu
besar, mereka ingin menunjukkan kononnya mempunyai sokongan.
"Hakikatnya kehadiran PAN dalam kedua-dua PRK itu bukanlah demi untuk
membela nasib rakyat, tetapi sekadar untuk 'melepaskan geram' khususnya
bagi membuktikan bahawa mereka lebih kuat daripada PAS," katanya.
PAN juga tahu mereka tidak akan mampu mencapai kemenangan namun masih
menaruh harapan untuk meraih undi lebih daripada PAS yang didakwa
matlamat utama parti bertanding.
"Melalui cara itu mereka boleh menggunakannya sebagai modal bagi
memberitahu rakyat khususnya orang Melayu bahawa parti mereka jauh lebih
hebat daripada PAS. Bagaimanapun PAS tidak boleh menafikan fakta bahawa
mereka hakikatnya hanya parti serpihan," soal Utusan.
Malah langkah PAN untuk bertanding di kerusi yang ditolak DAP
memperlihatkan parti itu belum selesa dalam gabungan pembangkang itu
biarpun diterima untuk menyertai Pakatan Harapan (PH).
PAN jelas mengatur pergerakan selamat apabila Ketua Pengarah
Strateginya Khalid Samad menggesa agar PKR menghentikan rundingan dengan
PAS bagi memudahkan PAN meletakkan calon bagi mewakili PH.
"Jika PAN mahu memiliki wakil dalam DUN atau Parlimen, mereka perlu
mencari kerusi paling selamat. Buat masa ini tiada satu kerusi pun yang
berada pada kedudukan tersebut kecuali PAN memujuk DAP menyerahkan
kerusi mereka sebagai tanda persahabatan.
"Tetapi pun belum tentu DAP akan bersedia berbuat demikian, sebaliknya
mereka mahu PAS yang berkorban menyerahkan kerusi kepada PAN, biarpun
mereka memahami PAS bukanlah sekutu dalam pakatan pembangkang," ujarnya
lagi.
No comments:
Post a Comment