Oleh Azizul Osman
SHAH ALAM: Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria menyifatkan kenyataan
Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss selaku Yang Dipertua PAS Kuala Kangsar
itu hanya bersifat peribadi.
Jelasnya kenyataan itu timbul disebabkan kekecewaan apabila PKR
menyokong calon yang dikemukakan Parti Amanah Negara (PAN), sedangkan
calon PAS juga bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar.
Terdahulu PAS Kuala Kangsar membekukan hubungan dengan PKR gara-gara
kehadiran Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail pada Majlis
Pengisytiharan calon Pakatan Harapan (PH).
"Itu kenyataan peribadi dia, bukan dari PAS (Perak). (Apa-apa)
keputusan parti adalah dari PAS Pusat. Keputusan parti masih lagi
bertahaluf siyasi dengan PKR," katanya ketika dihubungi wartawan
Antarapos.
Raja Ahmad berkata parti itu terguris dengan tindakan Wan Azizah yang
menghadirkan diri mewakili PKR pada majlis mengumumkan Dr Ahmad Termizi
Ramli yang mewakili PH bagi menentang PAS dan Barisan Nasional (BN).
Turut hadir bersama Wan Azizah termasuk pimpinan tertinggi PKR pusat
dan negeri antaranya; Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli; Pengarah
Pilihan Raya PKR pusat, Datuk Saifuddin Nasution; Ketua Penerangan PKR
pusat, Syed Ibrahim Syed Noh; Pengerusi PKR Perak, Dr Muhammad Nur
Manuty dan Ketua Sekretariat Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah.
Selain PKR, turut hadir pemimpin DAP yang diketuai Setiausaha Agung Lim
Guan Eng, Setiausaha Publisiti Tony Pua dan penasihat DAP Perak Ngeh Ko
Ham.
Bagaimanapun, kelibat Wan Azizah gagal dikesan tatkala rakan sekutunya
itu mengumumkan Ketua Dewan Muslimat PAS Perak, Dr Najihatussalehah
Ahmad sebagai calon PAS pada 27 Mei lalu.
No comments:
Post a Comment