Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohd Azhar
SHAH ALAM: Parti komponen Barisan Nasional (BN) menghormati keputusan
majlis Tertinggi (MT) Umno yang bertindak memecat dua pemimpinnya, Tan
Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Bendahari MIC, Datuk Seri S. Vell Paari berkata keputusan sebulat suara oleh Umno itu diterima pihaknya tanpa bantahan.
"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah mengesahkan bahawa
keputusan ini adalah keputusan sebulat suara oleh Majlis tertinggi (MT)
tanpa sebarang bantahan.
"Ini bermakna ianya adalah keputusan sebulat suara kepimpinan Umno dan
bukan mana-mana individu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
MT Umno pada semalam mengumumkan pemecatan Muhyiddin dan Mukhriz
selepas kedua-dua mereka dibuktikan melanggar disiplin parti apabila
mengeluarkan kenyataan yang menyerang dan memalukan parti dan pimpinan
tertingginya.
Pemecatan bekas timbalan presiden Umno dan bekas Menteri Besar Kedah itu berkuatkuasa serta merta.
MT Umno juga mengumumkan penggantungan keahlian naib presidennya, Datuk
Seri Shafie Apdal. Nasib Shafie akan diketahui selepas Jawatankuasa
Disiplin Umno selesai membuat siasatan.
Selain MIC, MCA menerusi Ketua Pemudanya, Chong Sin Woon juga mengambil pendirian yang sama.
"Ini adalah masalah dalaman Umno. Sebagai parti komponen BN, kita tidak
akan mencampuri urusan dalaman mana-mana parti. Apa yang saya harapkan
Umno kekal kuat dan bersatu untuk mengharungi cabaran," katanya kepada
Antarapos.
Muhyiddin dan Mukhriz dilihat 'mesra' pembangkang apabila kerap
sepentas dalam menggerakkan Deklarasi Rakyat yang dipimpin bekas perdana
menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menjatuhkan Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Razak.
Kedua-dua pemimpin itu sebelum ini lantang mengkritik Najib berhubung
isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dan RM2.6 bilion, meskipun
kedua-dua isu itu dalam siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara
(PAC) dan Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia (SPRM).
No comments:
Post a Comment