SABAK BERNAM – Seorang jiran yang ingin ke rumah seorang warga emas tergamam apabila menemui mayat wanita itu di ruang tamu rumahnya di Kampung Tengah, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa, Fauziah Enten, 72,
yang tinggal bersendirian di rumah itu ditemui lengkap berpakaian dalam
keadaan terlentang di sofa berhampiran pintu depan rumah terbabit.
Saudara mangsa, Abd Aziz Ahmad, 45, berkata, kejadian disedari apabila anak perempuan mangsa menghubungi seorang jirannya yang memaklumkan ibunya itu tidak dapat dihubungi sejak beberapa hari lalu.
“Jiran ke rumah arwah dan sebaik pintu ditolak dia terkejut bila nampak mayat wanita itu terbujur kaku.
“Dalam keadaan panik itu, dia terus ke rumah ibu saya dan maklumkan makcik (mangsa) dah meninggal dunia atas sofa,” katanya kepada Sinar Harian.
Abd Aziz secara kebetulan berada di rumah ibunya yang berhampiran rumah mangsa berkata, wanita itu tinggal bersendirian selepas kematian suaminya lebih tiga tahun lalu.
“Arwah hanya mempunyai seorang anak perempuan yang tinggal di Taiping, Perak. Kebetulan anaknya cuba telefon dia, tapi tidak berjawab menyebabkannya risau tentang keadaan ibunya di kampung,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Baharu, Aisah Mahidin berkata, dia dimaklumkan tentang penemuan mayat itu oleh rakan sejawatannya di kampung berkenaan.
Menurutnya, mangsa adalah seorang veteran Umno yang juga bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Wanita Umno Bahagian Sabak Bernam.
“Arwah tak lagi aktif dalam politik kerana keuzurannya. Kami pernah beberapa kali ziarah arwah dan saya sendiri secara peribadi sering ke rumahnya untuk bertanya khabar,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, hasil ujian awal Pasukan Unit Forensik mendapati, tiada unsur-unsur mencurigakan berkaitan jenayah terhadap mangsa.
“Kita dapati, tiada kesan geledah di rumah yang dihuni mangsa, malah barang kemas seperti rantai dan anting-anting masih berada pada anggota badan mangsa,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan keadaan mayat, polis percaya wanita berkenaan telah meninggal dunia lebih lima hari lalu.
“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk dibedah siasat dan ketika ini kes disiasat sebagai mati mengejut,” katanya.
No comments:
Post a Comment