Monday, June 27, 2016

ADUN Kota Siputeh jadi pemangku Umno Jerlun

ANTARAPOS.COM


Post Pic



ALOR SETAR: Umno Kedah memutuskan untuk melantik ADUN Kota Siputeh, Datuk Abu Hassan Sharif sebagai Pemangku Ketua Umno Bahagian Jerlun bagi menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang dipecat daripada parti.

Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata pelantikan Abu Hassan adalah bagi memastikan pimpinan Umno Bahagian Jerlun terus berjalan lancar.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam yang diwakili Mukhriz pula akan dijadikan DUN angkat Badan Perhubungan Umno negeri bagi memastikan nasib pengundi di situ terus terbela.

"Saya sendiri akan memberikan tumpuan khusus pada DUN Ayer Hitam bagi memastikan segala keperluan, agenda pembangunan dan kebajikan masyarakat di situ terus terbela," katanya dalam satu kenyataan, di sini, malam tadi.

Bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mukhriz yang juga bekas Menteri Besar Kedah dipecat Majlis Tertinggi Umno pada Jumaat, manakala keahlian Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula digantung.

Mengulas mengenai pemecatan itu, Ahmad Bashah berkata, ia adalah pendekatan terbaik walaupun parti berhadapan dengan situasi ditelan mati emak, diluah mati bapa.

"Keputusan secara konsesus itu haruslah difahami dari sudut disiplin dan aturan dalam jemaah kerana ketiga-tiga pemimpin itu yang sebelum ini berjasa kepada parti tiba-tiba boleh duduk semeja dan bersekongkol dengan pembangkang.

"Keadaan itu sekali gus mewujudkan keresahan, kecelaruan dan perpecahan selain sifat berbelah bahagi dalam kalangan semua peringkat pimpinan dan ahli akar umbi.

"Lantas, dalam konteks ini tindakan sebegitu memerlukan langkah pencegahan dan inilah keputusan terbaik malah Umno Kedah sentiasa istiqamah dan menyokong penuh keputusan kepimpinan demi kelangsungan parti, " katanya.


No comments: