NARATHIWAT: Dua lelaki cedera ringan dalam letupan bom kereta yang
meranapkan sebahagian gerai tepi jalan di Sungai Golok, Narathiwat pada
kira-kira jam 6.10 pagi tadi., kata polis.
Ketua Polis Sungai Golok, Kolonel Kong-ath Suwankham berkata, insiden
pada awal pagi itu berlalu di antara Sekolah Bang Sungai Golok dan
pangkalan operasi platun Task Force 33 Narathiwat di bandar berkenaan.
Pasukan pemusnah bom polis peronda sempadan dan penyiasat bergegas ke
tempat kejadian selepas menerima laporan berkaitan kejadian terbabit.
Menurut saksi, seorang lelaki memandu pikap Mitsubishi Triton yang
berisi bom buatan sendiri berlegar di kawasan gerai tepi jalan dan
meninggalkan kenderaan berkenaan di situ.
Lelaki terbabit kemudiannya beredar dari tempat kejadian dengan menaiki motosikal yang ditunggang seorang lagi suspek.
Empat polis peronda yang menaiki dua motosikal cuba menahan dua suspek
itu tetapi berjaya melarikan diri. Beberapa minit kemudian, bom dalam
pikap berkenaan meletup.
Dua lelaki, Chaiwit Areekulchai, 40, dan Sakiran Muso, 19, mengalami
kecederaan ringan akibat letupan bom berkenaan dan dibawa ke hospital
untuk menerima rawatan.
Sementara itu, sembilan gerai dan pikap terbabit musnah dalam kejadian
berkenaan. Kesan letupan bom turut menyebabkan tingkap kaca sekolah,
sebuah hotel dan bangunan komersial berkecai. - Agensi
No comments:
Post a Comment