DALIA ISMAIL
Penubuhan Sekretariat Selamatkan Malaysia secara rasmi akan lebih
mengoptimumkan usaha ke arah menentang segala bentuk salah laku pemimpin
di negara ini, bukan sahaja semata-mata bermatlamat untuk mendesak
Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib melepaskan jawatan.
Ahli Jawatan Kuasa/Koordinator Sekretariat Pusat Selamatkan Malaysia,
Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, beliau tidak menolak
sekretariat ditubuhkan ini akan tetap diteruskan matlamatnya walaupun
perdana menteri telah meletakkan jawatan.
"Matlamat deklarasi rakyat adalah untuk melawan segala bentuk amalan
rasuah, salahguna kuasa serta mendesak perdana menteri berundur kerana
Najib diseliputi oleh pelbagai skandal kewangan masakini.
"Sekretariat Selamatkan Malaysia ini akan berjalan secara jangka panjang.
"Matlamatnya semata-mata untuk memerhati seterusnya melawan segala
bentuk salah laku pemimpin atau institusi-institusi di negara kita.
"Deklarasi rakyat juga bertujuan untuk melaksanakan segala bentuk
reformis ke atas institusi-institusi lain di negara kita agar semuanya
dapat berfungsi secara telus serta independan tanpa perlu campur tangan
oleh mana-mana pihak agar kredibiliti instusi-institusi kerajaan di
negara kita dapat berfungsi secara seadil-adilnya," ujarnya ketika
dihubungi Malaysia Dateline.
Justeru
katanya, untuk mengumpul tandatangan bagi mencapai sasaran 1juta dalam
masa yang berbaki dua puluh hari lagi untuk diserahkan kepada Majlis
Raja-raja yang akan bersidang pada 11-12 Mei depan usaha menyasarkan
sejumlah 1juta tandatangan sejak dilancarkan pada 4 Mac lalu gerakan
rakyat Selamatkan Malaysia telah berjaya mengumpulkan 250,000
tandatangan di seluruh negara.
Melihat kepada usaha yang dilakukan beberapa kumpulan penggerak utama
terdiri dikalangan pemimpin parti politik pembangkang, ahli-ahli parti
dan NGO yang sepakat untuk turun bertemu rakyat bagi mendesak Perdana
Menteri melepaskan jawatannya sebelum Pilihanraya Umum ke-14
sesuatu yang positif.
"Mulai saat ini segala perancangan serta hala tuju deklarasi rakyat
akan dirancangkan oleh sekretariat pusat ini dan semalam ianya merupakan
mesyuarat pertama sekretariat pusat selepas mesyuarat penubuhannya pada
minggu lalu.
"Segala perancangan akan disusun atur secara konsensus di peringkat
sekretariat pusat dan segala aktivitinya akan diimplimentasikan oleh
jawatankuasa kerja yang juga berada di bawah sekretariat pusat deklarasi
rakyat." terangnya.
Beliau meyakini sehingga 9 Mei nanti sekretariat ini akan berjaya
mengumpulkan 1 juta tandatangan untuk diserahkan kepada Majlis
Raja-raja.
"Kita yakin dapat kumpulkan tandatangan pada 9 Mei ini dan satu
pengumuman rasmi akan dibuat untuk menyatakan jumlah sebenar yang
berjaya dikumpulkan.
"Dijadualkan Tun Mahathir dan 45 orang pertama yang menandatangani
borang Deklarasi Rakyat pada 4 Mac lalu akan menyerahkan borang-borang
itu ke Istana Negara." ujarnya.
Bagi mencapai sasaran itu Khairuddin berkata, sekretariat telah
mencetak lebih kurang 1.5 juta borang deklarasi rakyat dan sudah pun
diedarkan beberapa hari yang lalu ke seluruh negara.
"Sejak dirasmikan pada 4 Mac lalu lebih dari 250,000 orang sudahpun
menandatanganinya meliputi online serta offline di seluruh negara.
"Saya amat yakin dan positif kita akan dapat capai angka 1juta orang
menandatanganinya dalam sedikit masa lagi kerana borang-borang yang
telah dicetak telahpun diedarkan ke seluruh negara kepada
kumpulan-kumpulan pengerak.
"Kami semua akan berkerja keras dengan semua ahli-ahli deklarasi
rakyat untuk mendapatkan sasaran tandatangan 1juta sebolehnya pada bulan
hadapan secara berperingkat-peringkat untuk diserahkan kepada Majlis
Raja-Raja." ujar bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan ini.
Mengulas sambutan orang ramai terutama kumpulan yang diterajui bekas
ahli Umno dan gerakan ketua cawangan Umno untuk mengumpulkan tandatangan
rakyat ini, Khairuddin tidak menafikan sambutan mengalakkan adalah
dikalangan ahli umno akar umbi.
"Rakyat tidak takut lagi untuk menandatanganinya dan mewakilkan bagi
pihak sekretariat untuk menghantar ke majlis raja-raja bila cukup
sasaran 1juta pertama.
"Ramai dari kalangan ahli-ahli umno di peringkat akar umbi turut menandatangani borang deklarasi rakyat ini.
"Boleh dikatakan semua lapisan masyarakat dari golongan remaja,kaum
dan agama telah menunjukkan satu komitmen yang baik di dalam
menandatangani borang deklarasi rakyat dalam siri jelajah yang dibuat
oleh Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) bersama pemimpin dan bekas
ahli Umno seluruh negara," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan