Khamis, 28 April 2016

Pelajar putus tangan disedut mesin pam angin

Pelajar putus tangan disedut mesin pam angin
Mangsa kini sedang mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur. - Foto BH Online


KUALA LUMPUR - Seorang pelajar sekolah menengah di Perak dilaporkan putus tangan kanan manakala tangan dan kaki kirinya patah selepas disedut mesin pam angin, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu, pelajar tingkatan dua itu dilaporkan sedang bekerja di sebuah bangsal ternakan ayam di Sungai Bayor, Selama, Perak, lapor BH Online.

Difahamkan, tangan kanan mangsa terkena mesin pam angin di bangsal sebelum tangannya disedut dan putus terkena bilah kipas dalam mesin berkenaan.

Bapa mangsa, Mohd Rosdi Mat Shohor, 46, pekerja kilang di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, tidak mengetahui punca sebenar kemalangan menimpa anak kedua dari tujuh beradik itu kerana Mohd Syafiq mengalami trauma sebaik menyedari tangan kanannya hilang.

"Dia dihantar ke Hospital Selama sebelum dipindahkan ke Hospital Taiping. Tidak lama selepas itu, doktor mengambil keputusan memindahkannya ke Hospital Kuala Lumpur, awal pagi semalam.

"Dia masih meracau kerana terkejut dengan kehilangan tangan kanan, patah tangan dan kaki kiri serta mengalami keretakan pada kepala," katanya.

Mohd Rosdi berkata, anaknya bekerja di reban ayam berkenaan kerana memahami kesusahan keluarga dan ingin membantu meringankan tanggungan.

"Saya terduduk apabila mendapat dapat tahu kemalangan yang menimpa anak saya. Saya rasa bersalah tetapi harus reda dengan takdir Tuhan," katanya.

Mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Rosdi di talian 019-5287751.

Tiada ulasan: