Sabtu, 30 April 2016

Langkah-langkah menangani masalah tingkah laku remaja




 
Oleh Jacquelyn Su Wan Chuen 



Kita sering mendengar orang berkata, ‘awak mempunyai personaliti yang teruk’ dan sebagainya. Personaliti merujuk kepada gaya berfikir, emosi dan kemahiran perlakuan seseorang apabila bertindak balas dengan persekitaran luar. 

Bagaimana personaliti anda? Sekiranya anda dapat menyatakan siapa diri anda, maka anda telah mula mencari personaliti anda.

Salah satu langkah untuk menangani masalah tingkah laku remaja iaitu memupuk sikap saling membantu. Remaja yang mempunyai penghargaan kendiri positif memainkan peranan penting dalam memberikan bantuan kepada remaja yang mempunyai penghargaan kendiri yang rendah dalam menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru.

Di samping itu, kita juga boleh menaikkan semangat dengan memberikan motivasi dan galakan kepada para remaja. Remaja sentiasa memerlukan bimbingan daripada ibu bapa, guru dan orang dewasa lain dalam pembentukan identiti dan dalam proses penyesuaian ke dalam masyarakat. Walaupun remaja boleh menyelesaikan sendiri tetapi peranan ibu bapa dan guru menjadi role model untuk mereka. Seterusya ialah memperbaiki kendiri yang lemah.

Sebagai contoh, guru perlu sentiasa menggunakan pendekatan pembelajaran di hadapan kelas untuk memberi peluang remaja menampilkan diri dan boleh menambah keyakinan diri. Pada masa yang sama, remaja akan bersemangat untuk belajar dan memberi tumpuan kepada proses pengajaran dan pembelajaran yang sedang berlangsung.

Secara umumnya, strategi pengajaran dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu strategi pemusatan kepada guru, remaja atau pada bahan. Pemilihan strategi pengajaran oleh guru bergantung pada situasi remaja.

Pemusatan strategi yang diplih adalah tidak tetap kerana boleh berubah-ubah mengikut keadaan semasa remaja.

Guru akan menentukan strategi pengajaran mengikuti keadaan yang sesuai. Selain daripada itu, guru haruslah menggunakan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam kaedah pengajaran untuk menarik minat remaja untuk belajar. Ini kerana terdapat banyak kebaikan dan kepentingan penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran. Ini kerana penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam pengajaran dapat menarik perhatian pelajar untuk belajar dan pelajar tidak akan berasa bosan dan mengantuk dalam kelas.

Kawalan emosi perlu dilatih oleh setiap remaja dan kesan ini akan mempengaruhi tingkah laku.

Emosi yang stabil akan berlakunya dengan tindakan balas seseorang terhadap situasi yang dihadapi.


Dalam bilik darjah, terdapat pelbagai keadaan emosi ditujukan oleh remaja. Oleh itu, guru perlu sensitif memerhatikan perbezaan emosi remaja. Kebolehan meramal emosi juga dikenali sebagai kemahiran pengajaran melalui air muka. Gangguan emosi dalam kalangan murid-murid berpunca daripada persekitaran sekolah yang tidak kondusif.

Contohnya, gangguan emosi berpunca daripada masalah kesesakan dalam kelas yang boleh mewujudkan kecenderungan murid untuk melakukan kesalahan disiplin seperti ponteng kelas, menyendiri, murung, marah dan sebagainya. Peristiwa dalam keluarga melibatkan perubahan yang besar dan penyesuaian dalam kehidupan kanak-kanak dan ia mempengaruhi pengembangan emosi mereka.

Sebelum bermulanya proses pembelajaran, guru digalakkan mengemukakan soalan yang berkaitan dengan pembelajaran yang lepas. Hal ini akan membentuk personaliti ego kerana remaja akan berusaha mengingat, mengamati apa-apa yang telah dipelajari oleh mereka sebelum ini untuk tujuan menjawab persoalan yang dikemukakan oleh guru. Apabila persoalan yang dikemuka dapat dijawab dengan lancar, mereka akan berasa puas walaupun jawapan yang diberikan tidak menepati kehendak guru. Sebagai kesimpulan, guru akan memberikan jawapan yang tepat dan sebagai remaja mereka akan mengambil iktibar yang baik untuk mengawal tingkah.

Langkah seterusnya ialah mengembangkan minat secara cemerlang kerana minat merupakan satu anugerah daripada Tuhan. Setiap orang mempunyai bakat yang berlainan seperti kebolehan menyanyi, menari, melukis dan sebagainya. Jika seseorang itu berbakat akan memudahkan guru menyampaikan maklumat.

Terdapat kajian menyatakan bahawa pelajar sederhana lebih kreatif daripada remaja pintar. Antara kaedah untuk membimbing remaja mengikut kebolehan boleh menyediakan latihan atau tugasan dengan tahap pencapaian remaja. Melalui aktiviti yang sesuai, mereka akan sentiasa menikmati pengalaman tersebut.

Oleh itu, guru perlu meneliti minat yang dimiliki oleh remaja dan mencari jalan untuk mengembangnya.

Tambahan lagi, guru harus menggalakkan remaja menggemukan soalan. Teknik soal jawab merupakan teknik yang paling lama dan paling popular digunakan dalam bidang pendidikan.

Pemilihan teknik ini dalam pengajaran dan pembelajaran dapat melahirkan interaksi antara guru dan pelajar secara berkesan. Menyoal atau bersoal jawab sering menimbulkan masalah kepada pelajar-pelajar sama ada dalam kelas KBSR ataupun KBSM.

Apabila pelajar ditanya sama ada mereka mempunyai soalan atau tidak, mereka akan berdiam diri atau memberitahu tidak mempunyai soalan. Adakah benar pelajar-pelajar tidak mempunyai soalan untuk ditanya tidaklah dapat dipastikan. Namun satu soalan yang boleh ditimbulkan di sini ialah adakah guru telah mengajar kemahiran menyoal kepada pelajar-pelajar di dalam kelas? Salah satu perkara yang penting ketika berkomunikasi ialah aktiviti bertanya dan menyoal.

Kemahiran bertanya dan menyoal bukan sekadar untuk kita mendapatkan sesuatu maklumat tetapi dapat membantu kita membina iklim komunikasi yang positif dan memupuk sikap saling memahami dan bekerjasama.

Langkah terakhir ialah mengenal pasti remaja mempunyai perbezaan dalam kesediaan emosi, kesediaan kognitif dan kesediaan psikomotor. Kita perlu memikir dan mempertimbangkan kemampuan, keupayaan, kebolehan dan kesediaan kanak-kanak mengikut tahap perkembangan mereka.

Guru yang mengajar kanak-kanak pada peringkat awal perlu lebih kreatif dan fleksibel dalam pengajaran mereka. Mereka harus peka pada tahap perkembangan dan ciri-ciri peribadi setiap kanak-kanak dan mengubahsuai teknik pengajaran mereka mengikut keperluan kanak-kanak tersebut.

Oleh itu, persediaan dan pengalaman awal kanak-kanak memerlukan pembelajaran yang terancang, menarik dan relevan dengan perkembangan semasa serta dapat memenuhi keperluan individu kanak-kanak.

Secara kesimpulannya, remaja merupakan aset negara pada masa hadapan. Namun demikian, personaliti remaja mempunyai hubungan yang rapat dengan perlakuan remaja. Pesonaliti seseorang boleh bersifat kekal serta boleh berubah pada masa ke semasa.

*  Jacquelyn Su Wan Chuen adalah mahasiswa di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Tiada ulasan: