Selasa, 26 April 2016

Sarawak - Kisah dua wilayah

Dr Ong Kian Ming

 


ULASAN Jika kita berkunjung ke Kuching, Sarawak, kita akan menyangka negeri terbesar di Malaysia itu tidak mempunyai sebarang masalah.

Kedai-kedai kopinya sentiasa dipenuhi pelanggan, hotel-hotelnya sibuk, dan pada waktu petang, dermaganya meriah sekali.

Kesesakan lalu-lintasnya masih boleh dieterima, sekurang-kurangnya mengikut standard Lembah Klang, jalan rayanya juga bersih dan teratur.

Kuching nampaknya menawarkan semua kemudahan bandar besar, tetapi pada rentak hidup yang lebih perlahan dan tenang.

Indikator ekonomi Sarawak menunjukkan ekonomi yang sihat dan inklusif.

Menurut Jabatan Statistik, Sarawak memiliki Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ketiga tertinggi dalam negara pada kadar RM119 bilion pada tahun 2014 atau 10.7 peratus daripada jumlah KDNK negara selepas Selangor dan Kuala Lumpur.

KDNK per kapita Sarawak sebanyak RM44,437 pada tahun 2014 juga adalah ketiga tertinggi dalam negara, mendahului Selangor (RM40,701) dan Pulau Pinang (RM42,186) dan hanya ditewaskan Labuan (RM56,062) dan Kuala Lumpur (RM91,907).

Menurut data Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah 2014, kadar kemiskinan Sarawak pada 0.9 peratus seakan hampir terbanteras meski garis kemiskinan Sarawak pada tahap RM990 sebulan, lebih tinggi berbanding semenanjung pada RM930 sebulan.

Sarawak menerima RM9.6 bilion pelaburan disahkan dalam sektor pembuatan pada tahun 2014, menewaskan Pulau Pinang (RM8.2 bilion) dan Selangor (RM7.0 bilion).

Pun begitu, di sebalik kesemua angka-angka yang ditonjolkan ini adalah sebuah kisah yang tidak diceritakan. Ia adalah kisah kesenjangan ekonomi dan ketidaksetaraan.

Sementara kawasan bandar di Sarawak nampak seakan kawasan-kawasan bandar lain di semenanjung dari segi pembangunan dan keberhasilan ekonomi, lain pula kisahnya dengan kawasan pedalaman.

Kita mungkin hanya tahu secara anekdot tentang wujudnya jurang bandar-luar bandar di Sarawak, kita mungkin tidak sedar betapa seriusnya jurang tersebut dan bagaimana ia memberi lebih banyak kesan kepada Sarawak, berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.

Dalam siri tulisan ini, saya ingin menampilkan kesenjangan ini, apa yang saya sebut sebagai kisah dua wilayah - satu wilayah di kawasan bandar Sarawak dan satu lagi wilayah yang jauh berbeza di pedalaman Sarawak.

Harapnya dapat didedahkan sejauh mana angka-angka makro yang begitu menarik tadi telah menyembunyikan realiti akar umbi di negeri terbesar di Malaysia.

Jurang bandar-pedalaman ini sangat penting dalam konteks Sarawak memandangkan 46.2 peratus negeri itu digolongkan sebagai pedalaman / kawasan luar bandar pada tahun 2010 (negeri keempat paling pedalaman) dan 44.4 peratus tenaga kerjanya berada di kawasan pedalaman (tenaga kerja pedalaman ketiga tertinggi di Malaysia). (Lihat Rajah 1 di bawah)

Rajah 1: Peratus Populasi (2010) & Tenaga kerja (2014) di Kawasan Luar Bandar Mengikut Negeri


Sumber: Jabatan Statistik

Daripada pengedaran pengeluaran ekonomi sehingga pembentukan tenaga kerja, daripada hasil pendidikan sehingga akses kemudahan dan infrastruktur, milikan kereta ke daya pengeluaran agrikultur, angka-angka yang ditunjukkan mendedahkan sisi pedalaman Sarawak yang kelihatan jauh berbeza berbanding kawasan bandar.

Malah, ia akan terus berhadapan tekanan ekonomi dan sosial yang signifikan sambil kesenjangan ini berterusan.

Pastinya, saya tidak mahu sekadar menunjukkan kekurangan semasa tanpa mencadangkan beberapa penyelesaian yang mungkin kepada permasalahan ini.

Menjelang pilihan raya negeri Sarawak nanti, penting untuk kita mengadakan wacana secara matang dan bermaklumat tentang begitu banyak cabaran yang dihadapi orang Sarawak, terutamanya di kawasan luar bandar, dan menilai cadangan-cadangan oleh BN dan juga pihak pembangkang tentang bagaimana cabaran-cabaran ini boleh dan akan ditangani.

DR ONG KIAN MING anggota parlimen DAP Serdang. Beliau boleh dihubungi di im.ok.man@gmail.com.


Tiada ulasan: