Sabtu, 30 April 2016

Deklarasi Rakyat sasar 1 juta tandatangan dalam 2 minggu

Susan Loone    




Pergerakan 'Selamatkan Malaysia' berjaya mengumpulkan kira-kira 500,000 tandatangan untuk petisyen Deklarasi Rakyat dan yakin mereka dapat mencapai sasaran dalam tempoh dua minggu ini.

Petisyen itu akan dikemukakan kepada Majlis Raja-Raja untuk memohon penyingkiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak apabila ia memenuhi matlamat mendapat satu juta tandatangan.

Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah berkata, kira-kira 230,000 rakyat telah menandatangani petisyen dalam talian, manakala 270,000 tandatangan telah dikumpul semasa siri jelajah, ceramah dan tinjauan mesra di pasar malam.

Walaupun hanya 50 peratus daripada sasaran mereka, beliau yakin akan mendapat satu juta tandatangan tidak lama lagi.

"Kami jangka akan capai sasaran dalam masa dua minggu lagi, lebih ramai akan tandatangani semasa perhimpunan 1 Mei akan datang yang dianjurkan oleh Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia di Kuala Lumpur," kata Maria dalam forum Selamatkan Malaysia di Pulau Pinang malam tadi.

"Umno juga, sedang berusaha keras di peringkat akar umbi untuk mengumpul tandatangan, dan kami menjemput semua orang untuk turut serta dengan kami kerana negara ini menghadapi krisis," katanya.

Walaupun mengakui sesetengah pihak mungkin merasakan usaha gerakan Selamatkan Malaysia tidak akan membawa apa-apa perubahan dan Najib akan masih kekal berkuasa, Maria berkata, "Kami perlu cuba."

"Jika satu juta tandatangan tidak mencukupi, kita akan pergi untuk dua juta atau tiga juta. Kita tidak boleh berhenti berusaha,"katanya.

Beliau telah menyertai Pengarah Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) Cynthia Gabriel, bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim dan aktivis sosial yang juga penulis Hishamuddin Rais.

Prema Devaraj dari ALIRAN menjadi pemudah cara selama tiga jam dalam forum yang diadakan di Kompleks Masyarakat Penyayang di George Town, di hadapan kira-kira 150 hadirin.

Tiada ulasan: