Selasa, 26 April 2016

S'wak ibarat perlawanan akhir bola yang berat sebelah






ULASAN Semalam hari penamaan calon bagi memulakan proses awal pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-11 yang di jadualkan pada 7 Mei, selepas DUN dibubarkan pada 11 April lalu.

Proses pilihan raya adalah sebahagian daripada proses demokrasi berparlimen yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam konteks pilihan raya negeri Sarawak, dua pihak yang paling dekat bagi menjamin proses yang telus dan adil ialah kerajaan sementara yang wujud selepas pembubaran DUN Sarawak dan juga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kerajaan sementara negeri Sarawak sebenarnya tiada mempunyai apa-apa kuasa melainkan hanya buat sementara.

Tidak lagi wujud jawatan ketua menteri Sarawak dan kabinet melainkan hanya berfungsi membantu memastikan kelancaran proses pilihan raya berlangsung dengan telus dan adil.

Sekiranya kerajaan Sarawak prapembubaran DUN berasakan mereka kuat dan akan dipilih rakyat, itu kepercayaan mereka yang tiada siapa akan menghalangnya.

Namun mereka juga perlu sedar, mereka sudah tiada kuasa, justeru mesti menunggu sehingga proses pilihan raya selesai untuk memperoleh kembali kuasa.

Justeru perbuatan menghalang pemimpin kanan parti pembangkang daripada semenanjung untuk turut sama berkempen dan memberi sokongan kepada calon parti mereka yang bertanding adalah perbuatan yang pelik dan ganjil.

Seorang lwn satu pasukan

Ia juga bertentangan dengan prinsip demokrasi berparlimen. Benar, undang undang imigresen Sarawak agak berbeza dengan semenanjung.

Contoh terkini ialah polisi semenanjung yang menerima pekerja Bangladesh namun Sarawak pula tegas dilapor menolak pekerja negara itu bagi membolehkan penduduk tempatan mendapat peluang pekerjaan.
Namun sekalipun mempunyai undang-undang imigresen berbeza, sepatutnya Sarawak bertindak adil dalam situasi pilihan raya kali ini.

Apa yang berlaku ialah ibarat pasukan bola lawan tidak dibenarkan masuk ke stadium kecuali kapten seorang. Walhal pasukan bola tuan rumah dan pengadil sudah bersiap sedia di padang.

Pengadil sepatutnya tidak pandang berkelip-kelip mata begitu sahaja tanpa berbuat apa-apa.

SPR jika mahu memulihkan imej amat buruk mereka mestilah mengambil tindakan dengan memaklumkan kerajaan sementara Sarawak bahawa mereka tidak boleh berbuat demikian selaras dengan prinsip demokrasi berparlimen bawah Perlembagaan Persekutuan dan akta pilihan raya.

Ini adalah permainan yang berat sebelah apabila majoriti pemimpin kanan parti pemerintah dibenarkan hadir tanpa sekatan di Sarawak.

Menyekat 'Jamal Pak Tongko' dan Papagomo bukanlah bermakna pihak kerajaan sementara Sarawak adil. Tiada siapa akan terkilan.

Beg tangan tak boleh dimakan

Sekalipun mereka dibenarkan masuk ke Sarawak pun, mereka tidak membawa apa-apa nilai tambah kepada kempen kedua-dua belah pihak, melainkan menimbulkan kemarahan rakyat tempatan semata-mata.

Alasan arahan sekatan pemimpin Pakatan Harapan dibuat terlebih awal oleh pihak imigresen tidak dapat diterima.

Ini kerana mana-mana institusi penguatkuasaan kerajaan akan bekerja melaksanakan arahan semata-mata.
Mereka tidak mempunyai kepentingan secara langsung dalam pilihan raya negeri Sarawak kecuali pihak yang berada dalam kerajaan sementara.

Justeru sekiranya SPR enggan mengarahkan kerajaan sementara berlaku adil, dengan mengarahkan kerajaan sementara membatalkan larangan masuk, situasi ini tidak mustahil dibawa ke Mahkamah Pilihan Raya ataupun Mahkamah Tinggi.

Ia melibatkan injunksi membatalkan perintah imigresen berkenaan ataupun sekiranya telah tamat pilihan raya, untuk deklarasi membatalkan pilihan raya negeri Sarawak dan diadakan pilihan raya baru.

Siapakah yang boleh bersetuju sekiranya perlawanan akhir piala dunia bola sepak cuma pasukan tuan rumah, pengadil dan kapten pasukan lawan serta penjaga gol pasukan lawan sahaja berada di padang.

Manakala pemain lain pasukan lawan dihantar pulang oleh imigresen bagi memberikan kemenangan mudah kepada tuan rumah.

Tentu sekali Fifa sebagai badan yang menjaga peraturan perlawanan bola sepak piala dunia akan bertindak membatalkan perlawanan atas sebab sebab kemenangan tidak adil.

Kerajaan campuran tidak perlu risau apa-apa kerana mereka sudah amat yakin akan menang.

Cuma, mereka sepatutnya dilihat tidak memberi peluang yang adil kepada pihak lawan untuk berkempen bagi membuktikan proses demokrasi semasa pilihan raya benar-benar berlaku dan bukan sekadar “lip service”.

Rakyat seluruh negara kini memerhati saban hari pemimpin kerajaan semenanjung yang tidak ada kena mengena dan tidak berasal pun dari Sarawak tiba di Kuching, Miri dan Sibu tanpa sekatan.

Malah ada pemimpin hadir menghadiahkan beg tangan yang jelas mempamerkan ketidakfahaman isu keperluan asas yang dipentingkan rakyat Sarawak.

Beg tangan yang tentunya tidak boleh dimakan, cuma untuk bergaya semata-mata.

Alangkah baiknya jika kerajaan sementara atau imigresen Sarawak atau SPR berusaha segera membuktikan kepada dunia ketelusan demokrasi berparlimen dengan membatalkan segera kesemua larangan.

Ini termasuk pemimpin apa jua parti, hatta 'parti Tupperware' sekalipun semasa kempen pilihan raya negeri kali ini.


DR SYED ISKANDAR SYED JAAFAR AL MAHDZAR seorang peguambela dan peguamcara di Kuala Lumpur.

Tiada ulasan: