Sabtu, 30 April 2016

NAJIB, PERDANA MENTERI TERHEBAT MALAYSIA YANG MUNGKIN TAK DITEMUI LAGI SELEPAS INI

shahbudindotcom


Tun Mahathir Mohamad selalu dilihat sebagai pemimpin yang hebat kerana aspirasinya membawa pemodenan kepada negara selama 22 tahun berkuasa. Beliau kerapkali disebut sebagai Bapa Pemodenan Malaysia.

Tun Razak Hussein pula dikenali sebagai peneraju pembangunan berikutan dasar-dasarnya yang praktikal untuk semua rakyat dan bermanfaat sehingga ke hari ini, khususnya untuk golongan miskin. Lantaran itu, beliau lebih dikenali dengan Bapa Pembangunan negara.

Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dikenali sebagai Bapa Kemerdekaan serta banyak memainkan peranan dalam menyatupadukan rakyat dengan sikap toleransi dan bijaksana dalam memimpin negara. Disebabkan sumbangannya memerdekakan negara, nikmatnya dirasai oleh kita semua sehingga hari ini.

Tun Hussein Onn dan Tun Abdullah Badawi juga tidak kurang pencapaiannya ketika memimpin negara, tetapi harus diakui kedua-duanya sekadar "biasa-biasa" saja pencapaiannya.

Tahun 2016 ini bermakna Najib Razak sudah menjangkau tempoh tujuh tahun sebagai Perdana Menteri. Terbukti hanya dalam tempoh sesingkat tujuh tahun, Najib sebenarnya layak dinobatkan sebagai Perdana Menteri "terhebat" yang kita pernah ada.

Kehebatannya tak terlawan dek semua Perdana Menteri yang sudah dan banyak berjasa kepada kita sebelum ini.

Malah, disebabkan "kehebatannya"  itu, mungkin tidak ditemui lagi sesiapa yang mampu menandinginya. Siapa pun yang menjadi Perdana Menteri selepas ini, hakikatnya teramat sukar untuk melepasi "pencapaian" Najib.

Sumbangan terbesar Najib kepada rakyat ialah memperkenalkan perkataan dan angka bilion kepada rakyat. Sebelum ini ramai yang tidak pernah mendengar, menyebut dan jauh sekali bermimpi untuk memiliki wang berbilion-bilion.

Tetapi dengan terdedahnya mengenai Najib membenarkan wang sebanyak RM2.6 bilion dimasukkan ke akaun peribadinya, ramai yang jadi biasa menyebut perkataan itu, walaupun ramai yang tidak pernah melihat berapa banyaknya  wang 1 juta sekali pun.

Ramai juga yang sebelum ini tidak tahu dengan tepat makna satu bilion. Kebanyakannya menyangka bilion itu hanya ratus juta, tetapi kini semua sedar, termasuk budak-budak sekolah bahawa satu bilion itu ialah seribu juta.

Bermakna Najib telah mencelikkan rakyat dalam satu lagi ilmu kira-kira yang sebelum ini tak berapa diambil peduli oleh rakyat kebanyakan.

Hebatnya Najib juga ialah kerana mampu menjadi "selamba derk" di sebalik semua dakwaan skandal yang dikaitkan dengannya. Muhyiddin sendiri hairan bagaimana Najib boleh begitu "selamba"  seolah-olah tidak melakukan apa-apa kesalahan, sedangkan seluruh dunia memperkatakan tentang wang yang masuk ke akaun peribadinya.

Dalam isu RM2.6 bilion atau RM2,600 juta yang masuk ke akaun perbadinya misalnya, di sebalik majoriti isi dunia meragui wang itu sebagai derma, malah Tun Mahathir secara terbuka mengaitkannya sebagai pencurian wang, Persidangan Anti Rasuah merumuskannya sebagai memenuhi semua syarat untuk rasuah dan Akta SPRM sendiri menyebut menerima derma bagi penjawat awam adalah rasuah, Najib tetap "selamba jerrr"  menghadapinya.

Lebih mengkagumkan, berbanding sebelum timbulnya isu wang tersebut, Najib juga kelihatan lebih kerap memunculkan dirinya dengan  memakai jubah, kopiah putih dan bermesra-mesraan dengan golongan agamawan selepas ia semakin diperkatakan ramai.

Ini merupakan kehebatan yang  luar biasa sebenarnya. Di kampung-kampung dahulu, apabila seseorang itu diperbualkan dengan kegiatan jahat seperti disyaki mencuri dan sebagainya, mereka bukan saja menjauhkan diri dengan masyarakat, selalu hilang daripada kampung, malah tidak mungkin berani singgah ke surau atau masjid untuk bercampur gaul dengan golongan yang semuanya berkopiah putih.

Dengan Najib mampu berbuat sebaliknya, beliau nyata benar-benar "hebat"  dalam hal ini.

Dalam aspek yang lain, dengan terbukti dalam akaun peribadinya pernah berlabuh wang sejumlah RM2,600 juta, kemudian disebut juga oleh media-media antarabangsa sebanyak RM4,200 juta, Najib juga merupakan Perdana Menteri "terkaya" berbanding pendahulu-pendahulu yang pernah menerajui negara ini.

Selain itu, meskipun diri dan keluarganya sering dikaitkan dengan perbelanjaan mega, perhiasan mahal dan percutian mewah, tetapi Najib dan Rosmah Mansor juga selalu mengingatkan rakyat tentang jimat cermat, jangan boros berbelanja dan memberi nasihat agar rakyat "memiliki dua pasang baju sahaja" ketika Hari Raya.

Jika dirangkumkan semua "kehebatan"  itu dengan hutang negara lebih RM800 bilion, jumlah kabinet paling besar, penasihat bertaraf menteri paling ramai, mengambil rakyat asing sebagai penasihat media, perbelanjaan Jabatan Perdana Menteri juga paling besar dan banyak lagi perkara yang menjadi tatapan kita semua sejak 2009 lalu, ternyata Najiblah yang "terhebat"  sekali antara semua Perdana Menteri kita.

Yang lepas-lepas, daripada Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj hingga Tun Abdullah Badawi telah terbukti tidak mampu menandinginya, di masa depan pula,  sosok "sehebatnya" mungkin tidak akan kita temui lagi.
 
 
 

Tiada ulasan: