Khamis, 28 April 2016

Khidmat bas percuma untuk Sarawak jika banyak calon DAP, pembangkang menang

chong chieng jen
Oleh Fatih Hassan Nordin


KUCHING: Jika lebih ramai wakil pembangkang berada di dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak, tidak mustahil kerajaan Barisan Nasional terpaksa menerima tawaran manifesto DAP, termasuk melaksanakan perkhidmatan bas percuma di bandar-bandar utama.

Merujuk kepada manifesto mesra rakyat DAP yang menawarkan perkhidmatan bas percuma di setiap bandar besar Sarawak, iaitu, Kuching, Miri, Bintulu dan Sibu, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, berkata tidak mustahil perkara itu untuk dilaksanakan.

“Bajet adalah lebih kurang RM500 juta untuk melaksanakan projek Perkhidmatan Bas Percuma. Angka berkenaan adalah dalam kemampuan kerajaan negeri (Sarawak), di mana kerajaan negeri telah mengutip keuntungan lebih kurang RM6 bilion setahun.

“Malah, rizab Sarawak adalah sebanyak RM27 bilion. Dengan pendapatan sebegitu tinggi, maka, kerajaan negeri Sarawak sebenarnya berkeupayaan untuk melaksanakan projek berkenaan,” katanya kepada Roketkini.com.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pemangku Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem yang mendakwa manifesto yang ditawarkan DAP itu kononnya mempunyai kelemahan dan bakal memperdaya rakyat negeri berkenaan.

Malah, Adenan yang tidak diberikan maklumat yang tepat oleh para penasihat politiknya telah cuba tunjuk pandai dengan mendesak kerajaan Pakatan Harapan di Selangor dan Pulau Pinang supaya melaksanakan perkhidmatan bas percuma terlebih dahulu.

Kenyataan itu memalukan dirinya sendiri kerana Selangor dan Pulau Pinang telah pun melaksanakan perkhidmatan itu dan kini dalam usaha meluaskan lagi kawasan khidmat bas percuma tersebut.

Pulau Pinang merupakan negeri pertama di Malaysia yang melaksanakan perkhidmatan bas percuma manaka di Selangor, perkhidmatan seumpama itu telah dilaksanakan sejak Mei 2014 dan dijangka akan meliputi keseluruhan kawasan di negeri berkenaan menjelang Julai tahun ini.

Sehubungan itu, Chieng Jen yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching dan calon Kota Sentosa yang akan mempertahankan kerusi DUN itu, menyifatkan kenyataan Adenan sebagai mengarut.

Malah beliau turut menekankan bahawa perkhidmatan bas percuma yang ditawarkan melalui manifesto DAP Sarawak itu adalah lebih baik dan menarik kerana ia meliputi keseluruhan bandar besar di Sarawak. – Roketkini.com

Tiada ulasan: