Selasa, 26 April 2016

Krisis MB: Pas Terengganu mahu pilihan raya kecil di adakan

 MALAYSIA DATELINE


Satiful Bahri MamatSatiful Bahri MamatPas mengambil sikap tidak mencampuri urusan dalaman Umno berkait dengan kemelut melanda Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman, sebaliknya bersetuju jika pilihan raya kecil negeri diadakan.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah kepimpinan kerajaan negeri adalah menyerahkan mandat kepada rakyat.

Menurutnya, cadangan agar menteri mesar meletak jawatan dan diganti dengan orang lain juga tidak dapat menyelesaikan masalah selagi Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah.

“Jalan yang terbaik ada pandangan supaya menteri besar letak jawatan atau diganti dengan orang lain. Tetapi, kita rasa tidak selesai juga masalah itu.

“Cara terbaik pada pendapat saya, serah kepada rakyat semula dan adakan pilihan kecil peringkat negeri ini.

"Itulah yang terbaik untuk memberi mandat baharu kepada rakyat dan biar rakyat yang berhak pilih siapa (kerajaan) yang bakal memimpin negeri ini,” tegasnya ketika mengulas isu pelucutan darjah kebesaran Menteri Besar Terengganu.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Wacana Ekonomi Terengganu bertajuk “Kewangan Terengganu Dalam Bahaya, Rakyat Menderita” di Terengganu Equestrian Resort (TER), Kuala Ibai seperti dipetik media rasmi parti itu.

Ustaz Satiful Bahri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka menyifatkan isu pelucutan darjah kebesaran oleh Tuanku Sultan Terengganu itu memberi gambaran hubungan tidak baik.

“Pada pandangan awam bahawa menteri besar sudah tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Tuanku Sultan.

“Ini akan datang menyebabkan urusan-urusan kerajaan, urusan yang melibatkan rakyat dan sebagainya tidak akan berjalan dengan baik. Jika hubungan (dengan Tuanku) tidak baik, macam mana hendak urus pentadbiran kerajaan akan datang. Konflik ini selagi tidak selesai akan berpanjangan,” jelasnya.

Namun, beliau menolak pandangan pihak-pihak tertentu kononnya akan berlaku kerajaan campuran antara PAS Umno di negeri ini.

“Perkara itu tidak berbangkit sebab itu masalah dalaman dia (Umno).

“Kita bersedia bila-bila masa (pilihan raya) dan kita telah ‘start’ lama dah. Persiapan kita, ‘roadmap’ kita untuk menuju ke Wisma Darul Iman telah kita usahakan untuk menjadi pemerintah selepas PRU14, insya Allah.

“Kita juga mengambil kira pandangan Perlembagaan dan pandangan Tuanku Sultan. Dalam perkara ini kita (PAS) tidak boleh mengesampingkan apa pandangan Tuanku Sultan,” ujarnya.

Sebaliknya, kata beliau, Pas  lebih bersiap sedia menghadapi pilihan raya negeri bagi membetulkan segala kepincangan kerajaan BN di negeri ini.

Semalam, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah melucutkan semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abd Rahman berkuat kuasa Jumaat, 22 April.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu kepada Bernama.

Sabtu lalu, Malaysia Dateline telah melaporkan, Razif menyerahkan semua darjah dan bintang kebesarannya pada Jumaat selepas dimurkai oleh pihak Istana ketika beliau mengiringi Tuanku Sultan Terengganu menunaikan solat Jumaat.

Ketika dihubungi, seorang pemimpin Umno dari Terengganu yang mempunyai hubungan yang baik dengan Istana mengesahkan berita ini.

"Comfirm. Cuma belum ada kenyataan rasmi dari istana sahaja.

"Tuanku murka dengan ucapan MB ketika mengiringi Baginda solat Jumaat semalam. Lepas Jumaat beliau serah semua darjah kebesaran," kata laporan itu.

Tiada ulasan: