PERKASA menyokong penuh tindakan Bank Negara Malaysia mengeluarkan surat kompaun pentadbiran terhadap 1MDB, kata Pengerusi Biro Integriti, Anti-Rasuah dan Salahgunakuasa PERKASA, Azrul Akmal Saharudin.
Katanya PERKASA melihat perkembangan ini sebagai manifestasi ketegasan dan profesionalisme Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.
"Tindakan berani dan tegas Bank Negara ini perlu mendapat pujian semua pihak yang mendukung prinsip integriti dalam ruang lingkup kuasanya selaku agensi kerajaan yang dihormati," kata Azrul pada kenyataan media.
Sehubungan itu, pihaknya menggesa agar Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ai memulakan proses pendakwaan ke atas 1MDB.
"Walaupun kita mengalu-alukan tindakan kompaun dikenakan BNM, namun kes 1MDB ini tidak cukup sekadar dikenakan tindakan kompaun kerana nilai wang yang ingkar tidak dibawa balik ini adalah sangat besar dan berkemungkinan diselewengkan.
"Bank Negara telah melakukan siasatan terperinci dan mengenakan tindakan, maka wajarlah Peguam Negara pula membawa kes ini untuk tujuan pendakwaan jenayah yang bukan di bawah kuasa Bank Negara," katanya.
Semalam, Bank Negara dilapor mengeluarkan surat kompaun pentadbiran kepada 1MDB kerana gagal mematuhi sepenuhnya arahan yang dikeluarkan mengikut Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.
Ini termasuk mengkehendaki 1MDB menghantar balik wang yang dikirim ke luar negara berikutan pembatalan tiga kelulusan yang diberikan oleh BNM kepada 1MDB masing-masing pada 2009, 2010 dan 2011.
Bank pusat itu berkata 1MDB juga gagal mengemukakan bukti dan dokumen yang ditetapkan untuk memberikan alasan yang kukuh berhubung ketidakupayaan mematuhi sepenuhnya arahan penghantaran balik itu.
1MDB diberikan tempoh sehingga 30 Mei 2016 untuk membayar kompaun tersebut.
"Adalah tidak masuk akal, suatu pihak yakni Bank Negara mengenakan tindakan ke atas 1MDB di atas bukti-bukti yang diperoleh melalui siasatan, dan suatu pihak lagi pula tidak mahu meneruskan pendakwaan.
"Peguam negara perlu buat keputusan. Rakyat pasti akan menyokong dan berdiri di belakang peguam negara jika beliau berani untuk menegakkan kebenaran demi kesejahteraan tanah air tercinta," kata Azrul.
Sementara itu Azrul berkata pihaknya terkejut kerana sehingga pagi ini tiada kenyataan sokongan terhadap Bank Negara oleh parti politik sama ada kerajaan mahu pun pembangkang.
"Sepatutnya, apabila tindakan seberani ini dibuat oleh mana-mana agensi penguatkuasaan undang-undang, semua kumpulan masyarakat termasuklah parti-parti politik harus memberikan sokongan agar Bank Negara tidak berasa keseorangan dalam tindakannya.
"Kita harus sedar, langkah yang dibuat oleh Bank Negara ini natijahnya besar, ia menunjukkan bahawa segala apa yang diperkatakan oleh pelbagai pihak berkenaan krisis yang melanda 1MDB selama ini ada kebenarannya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan