Khamis, 28 April 2016

Gabenor BNM: Pelantikan Muhammad Ibrahim tepat




 
Oleh TUAN IBRAHIM TUAN MAN


PAS mengalu-alukan pelantikan Datuk Muhammad Ibrahim selaku Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang baharu selaras dan ingatan sebelum ini bahawa pelantikan Gabenor BNM bukan dari kalangan ahli politik dan perlu mengambil kira pandangan Gabenor BNM Dr Zeti Akhtar Aziz yang bakal bersara hujung bulan ini.

Pelantikan Datuk Muhammad Ibrahim diharap mampu meneruskan dan menambah keyakinan rakyat terhadap usaha untuk memuliakan kedudukan kewangan negara.

Rakyat juga berharap beliau akan bersikap tegas dalam menyelesaikan kemelut 1MDB yang masih belum selesai.

Tugas besar yang menanti beliau ialah memperteguhkan peranan Bank Negara dalam mengawasi perjalanan perbelanjaan kerajaan dan syarikat tanggungan kerajaan selain merangka strategi berkesan dalam memastikan ekonomi negara terus stabil dan kukuh dalam keadaan tidak menentu ini selain menjadi penasihat berkesan kepada kerajaan.

Namun beliau juga akan menjadi fokus rakyat bagi melihat perjalanan 1MDB yang masih bergelut dengan pelbagai su yang sentiasa muncul lebih-lebih lagi apabila kini 1MDB dalam keadaan ingkar.

Sebagai Timbalan Gabenor yang paling senior di bawah Tan Sri Zeti, PAS percaya beliau mampu menjalankan tanggungjawab dengan berkesan dan membetulkan perjalanan kewangan negara agar menepati kehendak syarak.

Kepada Tan Sri Zeti, PAS mewakili rakyat mengucapkan tahniah dan takziah atas hasil kerja dan prestasi BNM yang cukup memberangsangkan.

PAS juga tahu tidak mudah bagi perlantikan Datuk Muhamad Ibrahim sebagai Gabenor BNM berlaku jika Tan Sri tidak mendesak dan mendesak kerajaan dengan pelbagai peringatan melalui media bahawa pelantikan Gabenor BNM mestilah bukan dari kalangan ahli politik.

Selamat bersara bagi Tan Sri Zeti dan selamat bertugas bagi Datuk Muhammad Ibrahim. Semoga kalian sentiasa dalam bimbingan Ilahi.

*  TUAN IBRAHIM TUAN MAN,Timbalan Presiden PAS

Tiada ulasan: