Khamis, 28 April 2016

RM14,000 JUTA HILANG, CUKUPKAH DENGAN MENGATAKAN IA MASALAH DALAMAN? LAPOR POLIS TIDAK, SAMAN JUGA TIDAK?

shahbudindotcom


 
 
Jika ada anugerah, pasti 1MDB layak menerima penghormatan sebagai syarikat paling budiman di dunia ketika ini berikutan sikapnya yang dianggap paling lunak walaupun sudah disahkan wangnya berjumlah RM14,000 juta hilang entah ke mana.

Kalau orang lain, jangankan RM14,000 juta, malah hilang RM14 pun bisingnya boleh riuh sekeliling kampung.

Dalam laporannya kepada Bursa Saham London sebelum ini, IPIC telah mengesahkan bahawa Aabar Investment PJS Ltd (didaftarkan di British Virgin Island) yang menerima wang RM14,000 juta atau AS$3.51 bilion daripada 1MDB sebagai jaminan bon tidak ada kena mengena dengannya, walaupun namanya hampir sama dengan syarikat milik mereka yang sebenar iaitu Aabar Investmet PJS yang didaftarkan di Abu Dhabi.

Berikutan pengakuan IPIC itu, Arul Kanda, CEO 1MDB tidak menolak kemungkinan penipuan besar-besaran itu mendapat kerjasama daripada orang dalam 1MDB sendiri.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan semalam pula, Arul Kanda berkata, oleh kerana pihaknya berurusan dengan eksekutif kanan IPIC dan Aabar Investment PJS mengenai wang itu, maka ia adalah isu dalaman untuk diselesaikan oleh firma Abu Dhabi itu.

Hairan bin ajaib, jika benar 1MDB berurusan dengan eksekutif kanan firma Abu Dhabi itu dan mereka pula sudah mengesahkan kepada Bursa Saham London tidak pernah menerima wang tersebut, mengapa tindakan undang-undang tidak dimulakan?

Mengapa hanya mengatakan ia masalah dalaman IPIC dan Aabar Investment PJS sedangkan yang hilang RM14,000 juta adalah 1MDB?

Selain itu, jika benar sepertimana yang dinyatakan Arul bahawa ada penglibatan orang dalam dan ia pula disertakan dengan pengesahan firma Abu Dhabi itu bahawa mereka tidak pernah menerima wang RM14,000 juta tersebut, kenapa 1MDB tidak membuat laporan polis mengenainya?

Dalam hal ini, bukan saja CEO 1MDB yang harus diberikan sanjungan, malah Pengerusi Lembaga Penasihat merangkap Perdana Menteri, Najib Razak yang tandatangannya wajib diturunkan bagi sebarang urusan, wajib diberikan segunung puji-pujian.

Lihatlah, sementara Arul Kanda mengatakan ia hanya sebagai masalah dalaman untuk diselesaikan oleh IPIC dan Aabar Invstment PJS, jauh sekali untuk mengambil tindakan saman atau membuat laporan polis, Najib pula relaks saja seolah-olah tiada apa yang harus dibimbangkan dengan hilangnya wang sebanyak RM14,000 juta itu.

Memang hebat kedua-dua mereka ini!! 

Hanya "manusia-manusia terpilih" saja yang mampu  berkelakuan seperti Najib dan Arul ini.

Atau mereka jadi tak kisah dan relaks kerana  wang itu sebenarnya ialah wang kita semua? 


Tiada ulasan: