Isnin, 25 April 2016

PRN Sarawak: Pertembungan 4 penjuru di Pujut

 
Tumpuan diberikan kepada calon PAS Jofri Jaraiee yang bakal mempertaruhkan nasibnya di kerusi bermajoriti pengundi Cina ini.


sarawak


MIRI: Kerusi DUN Pujut bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru selepas tamat tempoh penamaan calon pada jam 10 pagi tadi.

“SPR telah terima pencalonan daripada empat calon. Setelah semakan dibuat, tiada calon ditolak,” kata Pegawai Pengurus Pilihan Raya N74 Pujut, Chee Kie Chang tepat jam 12 tengah hari tadi.

Penyandang Fong Pau Teck yang bertanding di bawah tiket bebas akan berhadapan dengan calon PAS Jofri Jaraiee, calon langsung BN Datuk Hii King Chiong dan calon DAP Ting Tiong Choon.

Pau Teck dipecat daripada DAP pada 2013 atas sebab disiplin, apabila tidak membayar sumbangan bulanan sebagai ADUN kepada parti.

Tumpuan pastinya kepada Jofri yang juga Pesuruhjaya PAS Sarawak yang mempertaruhkan nasibnya di kerusi bermajoriti pengundi Cina ini.

Semua calon tiba di pusat penamaan calon bersama pencadang dan penyokong serta rombongan penyokong masing-masing kira-kira jam 8.40 pagi.

Di sini BN menunjukkan kekuatannya apabila jumlah penyokongnya yang hadir mengiringi calon jauh lebih ramai berbanding PAS, DAP dan Bebas.

Jofri diiringi Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, manakala Tiong Choon diiringi pemimpin DAP dan Exco Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Pada PRN 2011, Pau Teck menewaskan calon BN-SUPP Andy Chia dengan majoriti 3,849 undi.

Tiada ulasan: